Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai diberi kepada ibu hamil – Khairy

Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai diberi kepada ibu hamil – Khairy

PUTRAJAYA,. Hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dengan tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya hari ini, Khairy berkata dua lagi vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu hamil buat masa ini.

Beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mengkoordinasi dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada golongan itu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pengambilan vaksin berkenaan juga boleh ditangguhkan selepas kehamilan.

Katanya vaksin Pfizer-BioNTech juga sesuai diberikan kepada ibu menyusu namun bagi vaksin Sinovac dan AstraZeneca, data keselamatannya adalah terhad dan pengesyoran akan dibuat selepas konsultasi.

“Ini merupakan panduan klinikal semasa yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai vaksin bagi golongan hamil dan menyusu, dan mereka dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sekiranya mempunyai keraguan berkaitan,” katanya.

Menurut Khairy, hingga kini, seramai 10.18 juta individu telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Seramai 1.202 juta orang menerima satu dos manakala 733,237 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin, dengan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan setakat ini ialah sebanyak 1,935,632 dos.

Mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri, Khairy berkata kerajaan belum membuka PPV industri namun CITF telah meluluskan permohonan kilang Pharmaniaga untuk projek rintis.

“CITF meluluskan permohonan industri ini kerana mereka merupakan kilang vaksin yang mana mereka terlibat dalam pembotolan vaksin Sinovac. Kilang Pharmaniaga membeli vaksin mereka sendiri untuk diberi kepada pekerja kilang mereka,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )