
IKBN Pekan lokasi penamaan calon PRK Chini
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang sebagai pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata penetapan lokasi itu bagi penamaan calon yang dijadualkan Sabtu ini.
“Calon, pencadang atau penyokong boleh mengemukakan kertas penamaan calon antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Pencalonan itu boleh dilakukan mana-mana seorang atau dua orang daripada mereka.
“Bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK N23 Chini supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit secara dalam talian lebih awal dan perlu membawa resit pembayaran itu pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan calon yang mewakili parti politik, perlu membawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili dan mengemukakannya semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik terutama yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terbabit supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya.
Katanya, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP Pemulihan) yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
“Bagaimanapun penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.
“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari berkenaan,” katanya.