PUTRAJAYA,. Malaysia mencatatkan skor 61.5 dalam Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024, meningkat daripada 54.5 pada 2023, sekali gus menunjukkan
PUTRAJAYA,. Malaysia mencatatkan skor 61.5 dalam Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024, meningkat daripada 54.5 pada 2023, sekali gus menunjukkan tahap keterjaminan makanan negara berada di landasan yang baik.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada empat dimensi utama yang dinilai, kebolehcapaian merekodkan skor tertinggi, iaitu 79.9, diikuti kestabilan (54.6), penggunaan (50.4) dan ketersediaan (50).
Beliau berkata skor kebolehcapaian yang tinggi menunjukkan Malaysia tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan kerana kekurangan pengeluaran domestik masih dapat ditampung menerusi import.
Mohd Uzir bagaimanapun berkata dimensi ketersediaan, khususnya pengeluaran dalam negara masih mempunyai banyak ruang untuk diperkukuh.
“Ini sebabnya fokus ekonomi pada masa hadapan perlu memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian. Saya jangka langkah itu akan membantu meningkatkan Indeks Keterjaminan Makanan negara,” katanya pada program wacana khas Simfoni Data dan Media di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata antara faktor penyumbang peningkatan skor ialah usaha kerajaan memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian, termasuk Internet Kebendaan (IoT) dan dron.
Beliau berkata sektor pertanian kini perlu diperkasakan melalui pembangunan ekonomi berskala besar dan lebih komersial, namun usaha itu wajar bermula secara kecil-kecilan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
Menurut Mohd Uzir, laporan awalan itu akan dimuktamadkan selepas proses penambahbaikan, termasuk pembangunan papan pemuka digital bagi memudahkan akses kepada data dan analisis keterjaminan makanan negara.
Beliau ketika mengulas mengenai landskap keterjaminan makanan global berkata menerusi laporan oleh Keselamatan Makanan dan Nutrisi Dunia (SOFI) 2024, sebanyak 673 juta penduduk dunia masih mengalami kelaparan manakala lebih 2.3 bilion individu mengalami ketidakjaminan makanan pada tahap sederhana hingga teruk.
Beliau berkata ketidaktentuan harga makanan dunia akibat perubahan iklim, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos tenaga turut memberi kesan kepada negara pengimport makanan seperti Malaysia menerusi peningkatan kos import.
SUMBER;
–BERNAMA

