Industri plastik Malaysia kekal berdaya tahan, tumbuh kukuh – MIDA

Industri plastik Malaysia kekal berdaya tahan, tumbuh kukuh – MIDA

KUALA LUMPUR,. Industri plastik Malaysia terbukti berdaya tahan ketika pandemik COVID-19 dan kekal berada di landasan tepat untuk terus mencatat pertumbuhan kukuh.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata setakat Jun 2022, sejumlah 33 projek telah mendapat kelulusan yang melibatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM503.5 juta bagi sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata seiring dengan perkembangan industri plastik, syarikat-syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memberi tumpuan terhadap aspek inovasi serta bertindak meningkatkan produktiviti untuk bersaing dan merebut peluang baharu.

“MIDA misalnya telah bertindak proaktif dengan mengambil inisiatif bagi memastikan kalangan pelabur mendapat akses ke atas prasarana dan kemudahan yang tepat dan tenaga kerja mahir dalam memenuhi keperluan perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada persidangan mengenai bantuan kerajaan di ibu pejabat MIDA di sini, pada Rabu.

Seramai 100 peserta telah menghadiri program khusus bagi industri plastik yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) untuk berkongsi maklumat mengenai pelbagai dasar, kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan.

Arham berkata, insiatif serta bantuan disediakan oleh MIDA kepada pengilang produk plastik termasuk Geran Automasi Pintar Dana Intervensi Industry4WRD, Elaun Modal Automasi (ACA) serta Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP).

“Malaysia juga komited dalam mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050. Sehubungan itu, MIDA bekerjasama rapat dengan MPMA untuk memacu kerjasama industri selain memahami permintaan dan bekalan sumber plastik kitar semula.

“Syarikat-syarikat perlu mengenal pasti kaedah praktikal bagi pemulihan sumber dan disalurkan semula kepada pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MPMA Datuk Noraini Soltan pula mengetengahkan pelbagai cabaran yang terus dihadapi industri plastik, termasuk kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos akibat pelaksanaan gaji minimum serta kenaikan kadar faedah dan penyusutan permintaan dari luar negara akibat kelembapan ekonomi.

Berikutan itu, bagi kemajuan masa depan, pengilang plastik tiada pilihan kecuali beralih kepada teknologi tinggi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta tenaga yang kurang mahir.

“Kemampuan industri plastik menghasilkan produk berkualiti tinggi pada harga kompetitif akan memperkukuh lagi peranan kita selaku industri sokongan dan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.

“Oleh kerana usaha pelaburan dalam teknologi tinggi serta automasi merupakan proses yang panjang dan fakta bahawa 90 peratus syarikat plastik adalah PKS, (maka) bantuan dan sokongan berterusan daripada kerajaan dalam bentuk geran, insentif dan pembiayaan adalah amat penting.

“Ini akan membolehkan lebih banyak syarikat plastik mempunyai sumber memadai bagi melabur dalam jentera canggih serta pembangunan produk baharu bagi pertumbuhan lebih mampan,” katanya.

Selain MIDA, persidangan MIDA-MPMA itu turut mengetengahkan barisan penceramah mewakili Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), United Overseas Bank Ltd dan TalentCorp Malaysia.

Noraini berkata wakil industri yang hadir juga mendapat manfaat daripada maklumat yang dikongsi oleh barisan penceramah mengenai bentuk bantuan serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Kita berharap para peserta dapat memperoleh maklumat berfaedah yang dapat membantu mereka dari segi merangka strategi berkesan dalam mengubah model perniagaan dan operasi. Program seperti ini juga diharapkan dapat meningkatkan kedudukan mereka dalam rantaian nilai,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)