KUALA LUMPUR,. Kes saman fitnah difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim terhadap sebuah pertubuhan bukan
KUALA LUMPUR,. Kes saman fitnah difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua individu berhubung dakwaan pemerdagangan manusia di Myanmar selesai selepas semua defendan memohon maaf di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Penyelesaian itu dicapai selepas Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim dan ahli jawatankuasa NGO berkenaan Azirul Syafiq Sazali bersetuju membuat permohonan maaf serta membayar kos RM100,000 kepada Mashitah.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Mashitah, ketika dihubungi mengesahkan penghakiman persetujuan itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun.
Ketiga-tiga defendan diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad dan Muhammad Falaq Adnan.
Menerusi penghakiman persetujuan itu, kesemua defendan memohon maaf kepada Mashitah dan suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar atas kekhilafan mereka merujuk beberapa kenyataan yang diterbitkan oleh Justice For Myanmar, Irrawaddy Post dan Scoop.com serta laporan United States Institute of Peace yang mengaitkan Mashitah dengan isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Kenyataan itu didakwa mencemar nama baik dan menjejaskan reputasi pasangan suami isteri berkenaan.
Selain itu, ketiga-ketiga defendan menzahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku dan bersetuju serta beraku janji tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung kes tersebut atau apa-apa tuduhan berkaitan dengan plaintif selepas ini, selain menarik balik tuntutan balas terhadap plaintif tanpa kos.
Pada 9 Sept 2024, bekas Ahli Parlimen Baling itu memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa Hishamuddin telah memuat naik, menerbitkan dan menyebarkan satu video kenyataan media berserta kapsyen Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar yang dibuat ketiga-tiga defendan menerusi akaun Facebook “Hishamuddin Hashim” pada 28 Ogos 2024.
Mashitah mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud beliau dan suaminya terbabit secara langsung dengan syarikat Dongmei Group yang terlibat dengan aktiviti jenayah pemerdagangan manusia, perjudian dan dadah di Myanmar serta peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi, maruah dan statusnya sebagai seorang figura terkenal, ahli politik kanan serta ahli perniagaan yang disegani dan dihormati masyarakat umum tempatan serta antarabangsa.
— BERNAMA

