JAKOA akan salur bantuan awal kepada mangsa kebakaran Kampung Orang Asli Teluk Jawa

HomeFeaturedBerita Semasa

JAKOA akan salur bantuan awal kepada mangsa kebakaran Kampung Orang Asli Teluk Jawa

JOHOR BAHRU,. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan menyalurkan bantuan awal dalam bentuk bakul makanan kepada lebih 100 mangsa kebakaran di

Kerajaan ikhtiar bantu pengamal media hadapi cabaran AI, ekonomi – Fahmi
Perbuatan lucah melampau di tanah perkuburan, pasangan didenda 12 bulan
MINDEF tidak kompromi insiden kematian anggota tentera darat

JOHOR BAHRU,. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan menyalurkan bantuan awal dalam bentuk bakul makanan kepada lebih 100 mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini bagi meringankan beban mereka.

Pengarah Jakoa Johor Faisal Long berkata kebakaran pagi tadi memusnahkan 30 rumah atas air dengan majoriti mangsa daripada suku Seletar yang melibatkan 41 ketua isi rumah.

“Kita segera memaklumkan kejadian kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi tindakan lanjut termasuk pengurusan penempatan sementara mangsa yang akan ditentukan oleh mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Faisal berkata Jakoa juga menggerakkan pegawai ke lokasi bagi membantu pengumpulan maklumat serta menyelaras keperluan mangsa dengan agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menguruskan aspek logistik.

Sementara itu, penduduk kampung itu berkata kebakaran pada 6.50 pagi menyebabkan kebanyakan penduduk tinggal sehelai sepinggang disebabkan api marak dengan sangat cepat ekoran angin kuat dan kedudukan rumah yang rapat.

Wakil Tok Batin Awie Mee, 43, berkata kebakaran turut memusnahkan motosikal dan bot penduduk kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan.

Mangsa Yati Mee , 45, mendakwa kebakaran memusnahkan wang simpanannya kira-kira RM10,000 hasil jualan kupang dan ketam serta dua bot bernilai sekitar RM30,000.

“Kejadian berlaku semasa saya baru pulang menghantar anak ke sekolah. Sampai sahaja, api sudah marak dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Seorang lagi mangsa Murai Toh, 52, berkata sebuah enjin bot nelayan miliknya bernilai kira-kira RM6,000 musnah dalam kebakaran itu.

“Angin kuat menyebabkan api lebih cepat merebak dan rumah pula semua rapat. Semua lari keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 7.14 pagi dan kebakaran memusnahkan 30 rumah.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Muafakat Taman Megah Ria pada 1 tengah hari bagi menempatkan semua mangsa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pasir Gudang bagi menempatkan 117 mangsa setakat 3 petang tadi.

Beliau menerusi kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terdiri daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Taman Megah Ria, Permas yang mula beroperasi pada 1 tengah hari.

–BERNAMA