Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

JOHOR BAHRU,. Jenazah bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin di sini, pada pukul 3.55 petang ini.
Van yang membawa jenazah Osman tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 3.20 petang dan urusan pengebumian dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu dibawa dari Kuala Lumpur dan tiba ke kediamannya di Jalan Sentosa, Kampung Dato Onn di sini sekitar 2.20 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Ar-Raudhah Kampung Dato Onn yang terletak kira-kira 260 meter dari kediamannya untuk disembahyangkan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir antaranya Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Md Nasir, ADUN Permas Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, ADUN Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar, ADUN Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad, ADUN Paloh Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini pada Oktober selepas diserang strok ringan dan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor pada bulan lepas.

Osman meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, pada pukul 11.45 malam tadi.

Beliau yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-70 pada Jumaat ini, meninggalkan tiga isteri termasuk Datin Nora Mohd Som dan tujuh orang anak.

Sementara itu, anak sulungnya Nornekman Osman, 47, berkata dia berazam untuk meneruskan legasi arwah bapanya bagi menabur bakti kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

“Kami adik-beradik memang sentiasa didedahkan dengan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat sejak dari kecil. Insya-Allah saya akan meneruskan perjuangan beliau,” katanya.

Nornekman berkata sebelum menghembuskan nafas, bapa sentiasa mengingatkannya agar menjaga ibu dan mengutamakan keluarga.

“Ribuan terima kasih kepada semua termasuk pihak hospital, kerajaan negeri dan orang ramai yang mendoakan untuk arwah dan buat kenduri doa selamat untuknya. Alhamdulillah kami dapat meluangkan masa bersamanya.

“Selepas mendapat rawatan selama dua bulan arwah ada menunjukkan perkembangan positif dan apabila dibawa pulang ke rumah (Damansara) baru-baru ini, beliau begitu ceria dapat bersama cucu-cucu, namun selepas asar semalam keadaan kesihatan beliau sedikit merudum,” katanya.

Karier politik beliau bermula pada 1975 selepas menyertai UMNO dan pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai pada 1993.

Osman kemudian menjadi ADUN Kempas selama tiga penggal selepas memenangi kerusi DUN itu pada tiga Pilihan Raya Umum, dari 1999 hingga 2013.

Tiga tahun kemudian, Osman menyertai Bersatu dan menjadi ADUN Kempas semula selepas memenangi PRU ke-14 atas tiket parti itu pada 2018.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )