KDN: meneruskan Usaha memastikan minyak bersubsidi dinikmati rakyat Malaysia yang layak

HomeFeaturedBerita Semasa

KDN: meneruskan Usaha memastikan minyak bersubsidi dinikmati rakyat Malaysia yang layak

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan semula komitmen kerajaan untuk menutup sepenuhnya ketirisan s

MIHAS 2026 JADI PLATFORM PRAKTIKAL HUBUNGKAN USAHAWAN MALAYSIA, CHINA – MEEDC
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan sempurnakan Pelancaran Modul Integriti Kanak-kanak ( MIKa )
32 tahun menanti, Jepun gemilang buka Sukan Asia-Aichi-Nagoya 2026

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan semula komitmen kerajaan untuk menutup sepenuhnya ketirisan subsidi di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) melalui kawalan yang lebih ketat, penguatkuasaan yang menyeluruh serta peluasan penggunaan sistem pemantauan digital.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan minyak masak bersubsidi hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, di samping melindungi kepentingan pengguna serta mengurus kos sara hidup secara mampan.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Khamis, beliau berkata pelaksanaan COSS beroperasi melalui ekosistem kawalan menyeluruh dan bukan bergantung kepada satu mekanisme sahaja.

Pelaksanaan COSS disokong oleh sistem bersepadu yang merangkumi pendaftaran dan pelesenan pemain industri, perekodan transaksi secara digital, pengesanan pergerakan bekalan serta pemantauan berterusan daripada peringkat pengilang dan pembungkus hingga ke pemborong dan peruncit, katanya.

Menurut Fuziah, pendekatan tersebut membantu menutup secara sistematik ruang manipulasi, penyelewengan dan ketirisan subsidi melalui pemantauan berasaskan bukti.

Integrasi COSS dengan platform digital eCOSS turut memperkukuh tadbir urus subsidi dengan membolehkan pengesanan awal ketidakpatuhan serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan yang lebih pantas dan bersasar.

Beliau menambah, aplikasi Mobile eCOSS turut diperluas di peringkat runcit bagi merekodkan transaksi jualan secara terus di premis perniagaan. Langkah itu bertujuan mencegah penyalahgunaan pada peringkat akhir rantaian bekalan, termasuk menghalang pembelian oleh warga asing.

Bermula 1 Mac 2026, KPDN akan mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong atau mana-mana pihak dalam rantaian bekalan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang.

Antara tindakan yang boleh diambil termasuk pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penyahaktifan profil peruncit dalam sistem eCOSS serta pendakwaan di mahkamah tanpa kompromi.

Di bawah undang-undang tersebut, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Fuziah mendedahkan bahawa rekod penguatkuasaan dari tahun 2024 hingga Februari 2026 menunjukkan sebanyak 940 kes melibatkan penyelewengan dan ketidakpatuhan dalam pengedaran minyak masak bersubsidi, dengan 755 tangkapan dilaksanakan di seluruh negara.

“Statistik ini mencerminkan ketegasan kementerian dalam memastikan pematuhan undang-undang dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.

KPDN yakin usaha penguatkuasaan berterusan akan terus membendung ketirisan subsidi, memperkukuh integriti pengurusan bantuan kerajaan serta memastikan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram benar-benar sampai kepada golongan yang layak, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan kecekapan, integriti dan keadilan sosial.