Kedudukan Sazali Saidon akan ditentukan selepas selesai pertukaran FA Ke FC

Kedudukan Sazali Saidon akan ditentukan selepas selesai pertukaran FA Ke FC

SEREMBAN,. Kedudukan ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan Sazali Saidon hanya akan ditentukan selepas urusan pertukaran status daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) selesai.

Pengurus Pasukan Negeri Sembilan Abdul Razak Mohd Idrus berkata pihaknya setakat ini belum membuat apa-apa keputusan memandangkan pembentukan FA ke FC masih dalam proses selain kontrak ketua jurulatih tersebut masih sah sehingga hujung November ini.

“Kita tidak boleh buat keputusan dahulu sebab kita masih menunggu pertukaran FA ke FC. Jadi, kita akan selesaikan proses pertukaran ini dan nanti FC yang akan buat keputusan.

“Sekiranya pasukan telah diuruskan oleh pentadbiran yang baharu, itu terpulang kepada pentadbiran berkenaan menentukan siapakah ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan yang baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini Negeri Sembilan masih belum menerima apa-apa permohonan daripada mana-mana pihak yang berminat menawar diri bagi mengisi jawatan ketua jurulatih pasukan.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada terdapat pertukaran pemain tempatan dan import bagi persiapan musim depan, beliau berkata skuad Rusa berkemungkinan dibarisi pemain muda serta pemain import yang berkualiti dalam menempuh persaingan liga akan datang.

“Bagi pemilihan akan datang, kita memberi keutamaan kepada pemain yang beraksi pada piala presiden. Kini, mereka juga sedang menjalani latihan bersama skuad senior dan kita akan pertimbangkan pemain-pemain dalam pasukan serta pemain import,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak menzahirkan rasa kecewa selepas Skuad Rusa gagal memanfaatkan peluang yang ada sepanjang perlawanan Liga Premier musim ini untuk memperbaiki kedudukan.

“Pada hujung-hujung musim liga banyak pemain yang cedera dan agak sukar untuk ketua jurulatih membentuk pasukan selain terdapat masalah di bahagian pertahanan. Pada dua perlawanan terakhir juga, kita cuba turunkan pemain muda tetapi disebabkan kurang pengalaman jadi kita harus terima keputusan ini.

“Ini merupakan kedudukan terburuk yang pernah kita dapat dan memang kita kecewa dengan pasukan,” katanya.

Negeri Sembilan menutup tirai aksi Liga Premier pada kedudukan di tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan dengan mengutip 11 mata selepas mencatat tiga kemenangan, seri (dua) dan kalah (enam) selepas mengharungi 11 perlawanan pada musim ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )