Kementerian Pengangkutan arahkan syarikat penerbangan selesaikan isu

Kementerian Pengangkutan arahkan syarikat penerbangan selesaikan isu

PUTRAJAYA,. Berikutan keluhan dan rungutan daripada penumpang syarikat penerbangan di atas kelewatan dan penjadualan semula penerbangan selain daripada isu teknikal, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan syarikat terlibat supaya menyelesaikan isu yang dialami penumpang dengan kadar segera.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementerian dan agensinya berkaitan penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menerima dan menyiasat laporan daripada maklum balas penumpang mengenai pengalaman mereka.

Wee dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan bersimpati dengan masalah dihadapi penumpang dan kebanyakan aduan mungkin disebabkan aliran penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan dengan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya kumpulan pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata pesawat yang menghadapi isu teknikal dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyenggaraan yang menyeluruh.

Setakat hari ini, semua aduan berkaitan tunggakan dan penjadualan semula penerbangan sudah diatasi dan berjalan seperti biasa, kata Wee.

“Untuk kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal kepada peraturan penerbangan awam, kementerian mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dengan lebih rapi dan menjelaskan isu ini dengan lebih baik kepada penumpang untuk mengurangkan kesulitan dihadapi mereka,” katanya.

Menurut Wee, pihak berkuasa sudah menegur pihak terlibat untuk memastikan tahap pematuhan yang tinggi kepada peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal mematuhinya.

Wee berkata pihak kementerian dan agensinya akan terus memantau penyedia perkhidmatan penerbangan untuk memastikan pematuhan tanpa kompromi terhadap penyenggaraan termasuk aspek teknikal.

Penting juga kepada syarikat penerbangan untuk meningkatkan saluran komunikasi kepada penumpang dan pelanggan untuk memastikan mereka mendapat maklumat sewajarnya berkenaan status penerbangan,” katanya.

Beberapa hari lepas, penumpang syarikat penerbangan tempatan menyalurkan keluhan mereka menerusi media sosial mengenai kelewatan dan penjadualan semula penerbangan selain daripada isu teknikal seperti penyaman udara yang tidak berfungsi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)