
Kenyataan Rahimah Majid tidak mewakili parti – Majlis Pimpinan PKR Sabah
KOTA KINABALU,. Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Rahimah Majid mengeluarkan kenyataan atas pandangan peribadi dan bukan mewakili parti mengenai isu pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Datuk Amarjit Singh.
Ketua Biro Disiplin PKR Sabah Sazalye Donol berkata tidak ada perbincangan atau makluman kepada pimpinan utama parti tentang kenyataan yang dibuat oleh Rahimah itu.
Beliau berkata Majlis Pimpinan PKR negeri menyifatnya sebagai kenyataan peribadi beliau dan tidak mewakili suara majoriti.
“Sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan negeri Sabah, setiap pemimpin digesa menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan pandangan supaya tidak mengeruhkan kerjasama baik di antara PKR dan Parti Warisan Sabah.
“Sepatutnya beliau maklum bahawa Kerajaan Sabah ini terbentuk oleh gabungan kerjasama antara parti termasuk PKR. Menuduh Kerajaan negeri kehilangan kredibiliti bermakna mengaitkan parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada Ahad lepas, Rahimah menerusi satu kenyataan berkata isu pelantikan Amarjit mengetuai JANS dan tindakan mengingkari keputusan mahkamah telah menjejaskan kredibiliti dan integriti kerajaan negeri.
Pada 9 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi mengisytihar pelantikan Amarjit sebagai Pengarah JANS tidak sah kerana bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air 2003.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat lepas menegaskan pelantikan Amarjit bukan menyalahi undang-undang serta tidak wajar diberhentikan daripada bertugas.
Mohd Shafie berkata Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hanya memutuskan pelantikan pengarah jabatan terbabit bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 namun tidak menyatakan pelantikan terbabit tidak sah.
Sementara itu, Sazalye berkata Rahimah sebagai Pegawai Khas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pusat sepatutnya fokus dalam usaha memantapkan kerjasama dengan kementerian dan agensi negeri agar penyaluran peruntukan dapat dioptimumkan dan mencapai objektif kementerian.
Beliau berkata bironya sedang giat memantau kenyataan yang dibuat oleh pemimpin dan ahli-ahli parti dan meminta mereka mematuhi perlembagaan dan etika parti serta menghormati hubungan kerjasama antara parti.
— BERNAMA