Kerajaan Kedah fokus empat teras utama dalam Belanjawan 2021 negeri

Kerajaan Kedah fokus empat teras utama dalam Belanjawan 2021 negeri

ALOR SETAR,. Kerajaan Kedah memfokuskan kepada empat teras utama dalam Belanjawan 2021 negeri, termasuk mencergaskan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata menerusi teras itu, kerajaan negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang telah diluluskan sebelum ini.

Katanya antaranya ialah Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), pembangunan di kawasan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dan Projek Kedah Rubber City (KRC).

“Kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek-projek seperti ini bakal memberi manfaat kepada ekonomi negeri, sektor perniagaan dan pekerjaan khususnya di daerah yang terlibat,” katanya semasa membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Katanya menerusi teras kedua iaitu mensejahterakan rakyat dan menambah baik kualiti hidup masyarakat, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya memperkenalkan program Beras Sejahtera, bagi memastikan tiada rakyat yang terputus bekalan makanan asas.

“Melalui program dengan peruntukan sebanyak RM2.16 juta ini, setiap keluarga yang layak akan diberi bantuan makanan bernilai RM50, untuk 100 keluarga di setiap DUN setiap bulan dan ini dapat membantu kira-kira 3,600 keluarga,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga memperkenalkan program ‘Anakku Sejahtera’ dengan peruntukan sebanyak RM1 juta mulai tahun depan.

“Bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan, setiap kelahiran akan menerima simpanan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM100 secara ‘one-off’ dan tabung ini boleh ditunaikan setelah mereka berumur 18 tahun,” katanya.

Menerusi teras ketiga iaitu membina insan dan melestarikan kehidupan, Muhammad Sanusi berkata pihaknya akan memfokuskan kepada usaha seperti pembangunan pendidikan dan sukan; pembangunan ummah serta pemuliharaan hutan, sungai dan alam sekitar.

Beliau berkata mulai tahun depan, sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan melalui Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) yang diwujudkan bagi tujuan pembangunan hutan.

“Imbangan bagi menampung perbelanjaan KWPH ini adalah daripada kutipan cukai ses pembangunan hutan dan pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup,” katanya.

Menerusi teras keempat pula, memantapkan tadbir urus dan meningkatkan sistem penyampaian, katanya kerajaan negeri akan berusaha untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam dan melaksanakan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, di samping memastikan kebajikan semua penjawat awam negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )