
Kes COVID-19 di AS akan jadi lebih buruk sebelum baik
WASHINGTON,. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran serius bahawa pandemik COVID-19 di negara itu akan melalui fasa ‘bertambah teruk’ sebelum bertukar menjadi lebih baik.
“Sesetengah negara berada dalam keadaan baik, sesetengah lain tidak. Ia mungkin akan menjadi lebih buruk sebelum menjadi baik.
“Terdapat peningkatan kes COVID-29 di kebanyakan negeri di bahagian selatan negara,” katanya ketika taklimat rasmi pertama mengenai virus itu di Rumah Putih, sejak akhir April.
Justeru, Trump menggesa rakyatnya untuk memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan yang kini sudah meragut lebih daripada 141,000 nyawa di seluruh negara berkenaan.
“Kita meminta semua orang memakai pelitup muka apabila anda sendiri tidak mampu menjaga jarak sosial.
“Sama ada anda suka atau tidak, ia ada kesannya. Ia akan memberi kesan dan kita perlukan semua itu,” katanya.
Trump turut berkata, sasarannya bukan untuk menguruskan situasi, tetapi mengakhiri pandemik itu.
“Vaksin kini sedang diusahakan dan akan ada banyak tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Trump turut mengulangi kenyataannya bahawa virus itu akan hilang dengan sendirinya.-AFP