Kes seludup migran : 11 warga Myanmar ditahan

Kes seludup migran : 11 warga Myanmar ditahan

KUALA LUMPUR,. Sebelas warga Myanmar yang disyaki terlibat dengan kes penyeludupan migran dari negara itu ke Malaysia ditahan dalam dua serbuan di Puchong Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dalam serbuan pertama, seorang warga Myanmar yang berperanan sebagai ejen penerima dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan di perhentian bas di hadapan sebuah pasar raya bersama tiga lelaki migran warga Myanmar.

“Susulan tangkapan itu, polis telah menggeledah sebuah rumah di Bandar Puchong dan menahan tujuh lagi lelaki warga Myanmar. Kesemua mereka dipercayai diseludup masuk dari negara asal untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tangkapan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan operasi yang djalankan antara 22 hingga 24 Sept tahun ini di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang, melibatkan sindiket penyeludupan migran warga Myanmar ke Malaysia.

“Sindiket berkenaan melibatkan warga tempatan dan asing yang menggunakan laluan darat dari Thailand dan seterusnya diseludup masuk melintasi Sungai Golok ke Rantau Panjang, Kelantan.

Kesemua migran ini kemudiannya dihantar melalui ejen ke negeri-negeri lain negeri untuk bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Abdul Hamid berkata kesemua 11 warga Myanmar itu ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan berikutan penangkapan terbaru itu, jumlah keseluruhan tahanan dalam rangkaian sindiket penyeludupan migran tersebut adalah 94 orang.

Abdul Hamid berkata daripada jumlah itu, 88 individu, iaitu 74 lelaki dan 14 wanita, adalah warga Myanmar dan enam individu lagi, lima lelaki dan seorang wanita, adalah warga tempatan, manakala seorang lelaki tempatan telah ditembak mati pada 24 Sept lepas.

“Siasatan masih diteruskan untuk membongkar dan mengenal pasti sasaran-sasaran lain yang turut terlibat dalam sindiket rentas sempadan ini bagi memastikan aktiviti penyeludupan migran dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )