
Kes tuntut cukai: Najib akan cabar pelantikan peguam wakili LHDN
KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencabar kesahan pelantikan Datuk D.P Naban sebagai peguam mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata beliau akan mencabar pelantikan dan kelayakan Naban kerana firma beliau (Naban) mungkin ada kepentingan.
“Isu kelayakan juga akan dibangkitkan kerana kami baru dimaklumkan bahawa firma rakan saya ini bertindak atas kepentingan kerana ia telah mewakili kes terhadap anak guam saya dan terhadap LHDN,” katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache hari ini.
Peguam itu berkata terdapat kes serupa yang melibatkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, di mana panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat telah memutuskan pada 7 Ogos bahawa surat perlantikan mesti ditunjukkan kepada mahkamah dan pihak pembelaan.
Sementara itu, Naban berkata beliau bersedia untuk menunjukkan surat pelantikannya yang dibuat di bawah Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan 1956, kepada mahkamah sahaja.
“Saya tidak pernah bertanya kepada rakan saya mengenai surat pelantikan mereka. Saya tidak mempunyai hak untuk meminta surat pelantikan beliau (Muhammad Shafee). Begitu juga, beliau tidak perlu meminta surat pelantikan saya kerana kerajaan berhak untuk melantik saya. Saya tidak faham asas perkara ini,” katanya.
Ahmad kemudiannya menetapkan 29 Nov ini untuk pengurusan kes.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan LHDN, Abu Tariq Jamaluddin memperkenalkan Naban kepada mahkamah sebagai anggota pasukan perundangan LHDN.
Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.
Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.
Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dibangkitkan.
Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut Najib membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.
— BERNAMA