PUTRAJAYA,. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kekal komited memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang pekerjaan berkualiti menerusi
PUTRAJAYA,. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kekal komited memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang pekerjaan berkualiti menerusi ekosistem pasaran buruh yang lebih responsif, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan visi Malaysia MADANI.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi platform MYFutureJobs kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan 96,700 peluang pekerjaan masih aktif untuk dipohon oleh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, statistik itu membuktikan bahawa peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran.
Menurutnya, Kerajaan MADANI melalui PERKESO dan platform MYFutureJobs menyediakan sokongan menyeluruh kepada pencari kerja, termasuk padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, semakan resume, persediaan temu duga serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi membantu mereka kembali bekerja dengan lebih pantas.
“Daripada 96,700 peluang pekerjaan aktif, hampir 40 peratus terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi, lebih 30 peratus melibatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala hampir 20 peratus menawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan, mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap bakat tempatan,” katanya.
Selain platform digital, beliau berkata, Kerajaan MADANI melalui PERKESO turut memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh negara.
Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak 2,989 program telah dianjurkan melibatkan 86,594 pencari kerja, dengan 14,029 individu berjaya memperoleh pekerjaan, manakala 15,809 lagi dipanggil ke peringkat temu duga seterusnya.
Ramanan berkata, Kerajaan MADANI melalui PERKESO juga menyediakan Bantuan Mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu pencari kerja yang perlu berpindah untuk memulakan pekerjaan baharu.
Beliau berkata, KESUMA melalui PERKESO akan terus memperkukuh kerjasama dengan majikan dan pemain industri bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti, meningkatkan kemahiran serta membina kerjaya yang mampan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua rakyat yang sedang mencari pekerjaan atau ingin bertukar kerjaya supaya memanfaatkan platform MYFutureJobs sebagai pintu masuk kepada peluang kerjaya yang lebih baik.
–GERBANGPOST

