PUTRAJAYA,. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memperkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (
PUTRAJAYA,. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memperkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh daya tahan tenaga kerja Malaysia susulan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat serta gangguan rantaian bekalan dunia.
Pakej tersebut, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Pekerja 2026, dijangka memberi manfaat kepada hampir 86,000 pekerja dan pelatih menerusi inisiatif yang merangkumi perlindungan sosial, pembangunan kemahiran, penempatan pekerjaan, pembangunan bakat muda serta pemerkasaan pekerja gig.
KESUMA berkata pakej itu dibangunkan susulan analisis terhadap situasi semasa pasaran buruh dan simulasi impak krisis bekalan global terhadap peluang pekerjaan serta risiko kehilangan pekerjaan.
Penilaian tersebut dijalankan berdasarkan pemantauan data pemberhentian kerja, laporan majikan serta tinjauan pulse-survey bersama Future Skills Talent Council (FSTC).
Menurut kementerian itu, pasaran buruh Malaysia dijangka berdepan tekanan yang semakin meningkat bermula suku kedua tahun 2026, khususnya antara Mei hingga September yang dikenal pasti sebagai tempoh berisiko tinggi.
Walaupun indikator pasaran buruh pada suku pertama 2026 masih belum menunjukkan kesan langsung daripada krisis bekalan global, KESUMA mendedahkan bahawa sebanyak 10,658 tuntutan telah direkodkan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada Januari 2026, iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan bagi bulan Januari sejak sistem itu diperkenalkan.
Kementerian itu menyifatkan peningkatan tersebut berpunca daripada gelombang penstrukturan semula organisasi pada penghujung tahun 2025 dan memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih mencabar sekiranya tekanan ekonomi global berterusan.
KESUMA mengunjurkan bahawa tanpa intervensi awal dan bersasar, tuntutan kehilangan pekerjaan boleh meningkat kepada sekitar 18,500 menjelang Ogos 2026, hampir menyamai kemuncak yang direkodkan semasa pandemik COVID-19 apabila 18,579 tuntutan difailkan pada Jun 2020.
Lima sektor yang dikenal pasti paling terdedah adalah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, perkhidmatan pengangkutan dan penyimpanan, serta maklumat dan komunikasi.
Sebagai respons, KESUMA telah membentangkan cadangan PACE semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kali kelapan pada 28 April lalu sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kesejahteraan tenaga kerja negara sebelum pakej tersebut dilancarkan secara rasmi.
Pelaksanaan PACE melibatkan penyelarasan antara beberapa agensi di bawah KESUMA termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Di bawah pakej itu, PERKESO memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan program LINDUNG Kerjaya dengan pembiayaan melebihi RM580 juta. Inisiatif tersebut bertujuan membantu lebih 56,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui bantuan kewangan, intervensi pekerjaan semula dan sokongan kebolehpasaran kerja.
Antara 1 Mei hingga 12 Mei 2026, sebanyak 1,227 tuntutan telah diluluskan melibatkan sektor yang berpotensi terjejas akibat krisis tenaga dan bekalan global.
Sementara itu, HRD Corp akan melaksanakan inisiatif bernilai RM100 juta yang menyasarkan hampir 20,000 peserta termasuk belia, pekerja gig, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), komuniti luar bandar serta kumpulan rentan.
Inisiatif tersebut akan dilaksanakan menerusi tujuh program utama termasuk Vetri MADANI, Daya, Elevate, Digital, Borneo, Nusa dan Gig to Business (GTB), dengan tumpuan kepada peningkatan kemahiran, transformasi digital, pembangunan perusahaan dan mobiliti kerjaya, dan dijangka bermula menjelang penghujung Mei ini.
Bagi memperkukuh lagi ekosistem pekerja gig, PTPK telah diperuntukkan tambahan RM20 juta untuk menyediakan latihan kemahiran khusus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing. Program itu menyasarkan 5,000 pekerja gig bagi membantu mereka mempelbagaikan kemahiran dan meningkatkan perlindungan sosial.
KESUMA berkata mekanisme pelaksanaan kini sedang dimuktamadkan bagi memastikan akses kepada peluang latihan yang lebih inklusif dan bersasar.
Pada masa sama, TalentCorp memperkukuh pembangunan bakat muda dan daya tahan PMKS menerusi Geran Padanan Latihan Industri PMKS bernilai RM10 juta. Program tersebut bertujuan mewujudkan 5,000 penempatan latihan industri berbayar.
Sehingga kini, lebih 100 syarikat telah berdaftar di bawah inisiatif itu, yang dijangka menyediakan lebih 300 peluang latihan industri kepada pelajar dan graduan.
KESUMA berkata pihaknya akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif di bawah pakej PACE sambil memantau rapat perkembangan ekonomi global dan impaknya terhadap pasaran buruh negara.
“Kementerian akan terus mengambil langkah intervensi proaktif bagi memastikan kestabilan pekerjaan, kebolehpasaran tenaga kerja dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

