Ketengahkan persembahan Randai, pelihara warisan Negeri Sembilan

Ketengahkan persembahan Randai, pelihara warisan Negeri Sembilan

SEREMBAN,. Persembahan “Randai” yang menggabungkan pelbagai elemen termasuk seni tari, silat, muzik dan kesusasteraan perlu diketengahkan sebagai persembahan rasmi dalam mana-mana acara bersesuaian yang dianjurkan di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, langkah itu bagi memelihara warisan tradisi Negeri Sembilan terutama kepada generasi muda selain mempromosikan dan menjadikan persembahan itu sebagai tarikan pelancong.

“Semalam, saya pergi ke acara yang ada persembahan randai, sangat menarik, biasanya ia dilakukan lepas musim menuai … tak terlalu berat, persembahan itu ada unsur komedi jadi, saya ingin ketengahkannya termasuk tarian yang boleh jadi antara perkara yang melambangkan identiti Negeri Sembilan.

“Apabila pelancong datang nanti mereka boleh tengok persembahan itu … kalau pergi Bali, Indonesia mereka ada tarian Kecak, jadi kalau ke Negeri Sembilan, orang akan ingat pasal Randai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Makanan Persatuan Celoynese Negeri Sembilan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, persembahan berkenaan juga perlu didedahkan kepada pelajar supaya budaya dan warisan unik itu tidak dilupakan pada masa akan datang.

Randai yang disertai tidak kurang 20 individu berkonsepkan gerak tari silat yang diselangi nyanyian berunsur lagu rakyat serta diringi muzik caklempong, rebana, salung serta gong dan ia merupakan antara seni budaya masyarakat Minangkabau di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, program jejak makanan tradisi Negeri Sembilan yang turut menggabungkan makanan pelbagai kaum akan dimasukkan dalam takwim pelancongan negeri ini bagi menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)