IPOH,. Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan dua inisiatif pencegahan tingkah laku bunuh diri, iaitu National Suicide and Fatal Injury Regi
IPOH,. Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan dua inisiatif pencegahan tingkah laku bunuh diri, iaitu National Suicide and Fatal Injury Registry Malaysia (NSFIRM) dan Garis Panduan Perkhidmatan Postvention.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata NSFIRM adalah sistem registri yang akan memperkukuh pengumpulan data forensik kematian akibat bunuh diri dan kematian yang disebabkan oleh kecederaan.
“Pengumpulan data ini akan memudahkan analisis dan pemantauan trend kejadian secara lebih sistematik. Data yang tepat boleh digunakan bagi merancang polisi, program dan perkhidmatan yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan perasmian Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 dan pelancaran dua inisiatif berkenaan di Dewan Utama Kolej Poly-Tech MARA di sini hari ini.
Dzulkefly berkata Garis Panduan Perkhidmatan Postvention pula memastikan individu yang terkesan susulan kejadian kematian bunuh diri mendapat sokongan psikososial dan intervensi bersesuaian bagi membantu proses pemulihan, di samping mengurangkan risiko berlakunya tingkah laku bunuh diri berulang atau copycat suicide.
Dengan garis panduan ini, beliau berkata perkhidmatan postvention dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, sistematik dan bersepadu, iaitu menerusi Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) yang memberikan sokongan kepada agensi dan komuniti yang terkesan.
Di samping itu, Dzulkefly berkata KKM turut melaksanakan latihan dan pembangunan kapasiti bagi memperkukuh keupayaan agensi berkaitan, termasuk bersama Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO dan pihak berkepentingan yang lain.
Sementara itu, beliau berkata di Malaysia, data Polis Diraja Malaysia menunjukkan peningkatan kes daripada 981 kes pada 2022 kepada 1,087 kes pada 2023 dan 1,114 kes pada 2024.
“Pada 2025, terdapat sedikit penurunan, iaitu 1,079 kes yang direkodkan, namun jumlah ini masih tinggi. Justeru, dengan tema ‘Ubah Tanggapan, Bina Harapan’ pada tahun ini, usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri memerlukan komitmen daripada semua pihak dengan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.
“Dalam era digital ini, kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang dikongsi dan disebarkan tidak mendatangkan mudarat,” katanya.
Dzulkefly berkata orang ramai perlu mengelakkan perbuatan merakam, menyebarkan atau menularkan kandungan berkaitan tingkah laku bunuh diri yang memaparkan kejadian secara sensasi.
Beliau berkata setiap daripada kita mempunyai peranan sebagai masyarakat yang prihatin, lebih peka terhadap tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan lebih bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang sedang berdepan dengan krisis.
— BERNAMA

