PUTRAJAYA,. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling bersambung
PUTRAJAYA,. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling bersambung di dunia sambil terus menjadi hab mega paling bersambung di Asia-Pasifik.
Menurut Indeks Hab Mega 2026 OAG, kapasiti KLIA meningkat sebanyak 6.9 peratus, disokong oleh pengembangan rangkaian penerbangannya.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata kedudukan KLIA dalam kalangan hab mega paling bersambung di dunia mencerminkan kekuatan dan keluasan rangkaian penerbangannya, disokong oleh rakan kongsi syarikat penerbangan, pasukan lapangan terbang serta pihak berkepentingan industri. Bagaimanapun, pertumbuhan KLIA bukan sekadar menambah lebih banyak destinasi, dengan ketersambungan yang lebih besar, ia perlu dipadankan dengan kapasiti yang mencukupi dan pengalaman penumpang yang lancar.
“Pertumbuhan ini hanya bermakna apabila ia dipadankan dengan pengalaman yang betul dan kapasiti yang sesuai untuk menyokongnya. Itulah sebabnya tumpuan kami di KLIA melangkaui ketersambungan. Kami berusaha merentasi keseluruhan perjalanan penumpang dalam menjadikan KLIA lebih mudah, cekap serta mesra,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, KLIA telah menerima tujuh syarikat penerbangan berjadual baharu dan sembilan laluan baharu, menyediakan sambungan tambahan ke destinasi seperti Riyadh, Algeria dan Jinan. Malaysia Airlines juga telah mengukuhkan hubungan dengan Jepun melalui perkhidmatan terus Fukuoka-Kuala Lumpur yang baharu.
MAHB berkata pengembangan ini berterusan dengan Gulf Air, Hainan Airlines, ZIPAIR dan Thai Vietjet dijadualkan memulakan perkhidmatan menjelang hujung tahun ini, manakala Lufthansa akan kembali pada Oktober dengan lima penerbangan mingguan antara Frankfurt dan Kuala Lumpur.
Mohd Izani berkata MAHB menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan KLIA sebagai hab mega Asia-Pasifik yang paling tersambung di samping memastikan kecemerlangan perkhidmatannya, seiring dengan rangkaiannya yang semakin berkembang. Antara penambahbaikan terkini ialah kemudahan daftar masuk dan layan diri yang dinaik taraf, pengurusan laluan trafik yang dipertingkatkan melalui Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) dan sistem e-hailing baharu di Terminal 1.
MAHB juga telah memperkenalkan troli penumpang tambahan, kerusi roda percuma dan kereta sorong bayi serta kemudahan mesra keluarga, manakala ‘Bilik Tenang’ dan ‘Taman Permainan Harimau’ telah diperkenalkan di Terminal 2. Pengendali lapangan terbang itu berkata gabungan rangkaian yang lebih kukuh, pengalaman penumpang yang dipertingkatkan dan pelaburan kapasiti yang berterusan akan meletakkan KLIA untuk menghubungkan Malaysia dengan lebih banyak destinasi serta pelancong di seluruh dunia.
— BERNAMA

