Korea Berkabung: Jin BTS Batal Pradengar ‘Astronaut’

Korea Berkabung: Jin BTS Batal Pradengar ‘Astronaut’

Tragedi yang tidak diduga ini menyebabkan semua acara dan persembahan hiburan telah ditunda atau dibatalkan.

Seluruh Korea Selatan sedang berkabung susulan tragedi yang tidak diingini berlaku di Itaewon, pada saat ramai yang bertumpu di bandar itu untuk menyambut parti Halloween, pada malam Sabtu lalu.

Seramai 154 orang dilaporkan terkorban dan hampir 200 orang mengalami kecederaan akibat terperangkap dalam puluhan ribu orang yang bersesak-sesak di sebuah lorong sempit di Itaewon untuk meraikan perayaan hantu itu.

Mereka yang maut terdiri daripada remaja belasan tahun dan berusia 20-an termasuk warga asing. Dianggarkan 100,000 orang berkumpul di bandar yang terkenal dengan pusat aktiviti hiburan malam itu bagi meraikan Halloween.

Tragedi memilukan itu sama sekali tidak dijangka dan berikutan insiden berkenaan, Presiden Yoon Suk Yeol mengumumkan tempoh berkabung selama seminggu bermula Ahad dan bendera dikibarkan separuh tiang.

Susulan tragedi itu juga semua siaran langsung melibatkan industri hiburan telah ditunda. Begitu juga dengan pelbagai persembahan hiburan lain.

Antara yang terlibat ialah syarikat pengurusan BTS iaitu Big Hit Music yang mengumumkan Parti Pradengar ‘Astronaut’ telah dibatalkan. Mereka turut membatalkan pelancaran video lirik single terbaharu oleh Jin itu.

Awalnya, salah seorang BTS, JHope memuat naik hantaran yang lucu tentang Halloween, namun memadamnya selepas berlaku tragedi berkenaan.

Jin masih belum pulang ke Korea kerana membuat persembahan di Argentina. Dia mengadakan persembahan bersama Coldplay di Stadium di Buenos Aires. Penyanyi itu memberikan persembahan yang penuh emosi di hadapan penonton.

Tidak dapat dipastikan bagaimana tragedi ini berlaku, namun beberapa mangsa yang terselamat cuba menceritakan semula titik permulaan kepada kejadian ngeri yang membawa maut ini.

Halloween adalah sebuah acara yang besar dalam industri K-Pop. Bagaimanapun ini adalah tragedi buruk kedua yang berlaku di Korea Selatan, melibatkan kehilangan banyak nyawa di kalangan anak-anak muda.

Sebelum ini, tragedi The Sewol Ferry telah meragut nyawa nyawa anak-anak muda.

– Getaran, 31 Oktober 2022

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )