
KPK akan pergiat penghasilan baka sawit hibrid – Fadillah
KUALA LUMPUR,. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bakal mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang akan dapat menghasilkan lebih banyak minyak dengan menggunakan keluasan tanah yang terhad.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini selaras dengan dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengoptimumkan penggunaan tanah perladangan sedia ada.
Beliau, yang juga selaku Menteri Perladangan dan Komoditi berkata MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan akan terus memastikan produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan.
Ini, katanya, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penebangan hutan dan keselamatan makanan.
“Umum mengetahui bahawa sektor agrikomoditi adalah penting bagi ekonomi negara, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar negara.
“Dalam hal ini, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah berkata usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan kerajaan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar.
“Bahkan, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya juga turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta CCUS (Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon).
Selain itu, KPK turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit.
–BERNAMA