
KPower dapat kontrak bernilai RM24 juta bekal kit PCR COVID-19 kepada syarikat Indonesia
KUALA LUMPUR,. Unit milik penuh KPower Bhd, KPower Healthcare & Technologies Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai minimum sebanyak RM24.05 juta daripada PT Arna Cahaya Medika untuk pembekalan kit ujian polymerase chain reaction (PCR) untuk COVID-19.
Kontrak itu akan berkuat kuasa selama 12 bulan dan akan diuruskan mengikut undang-undang Indonesia, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kontrak ini dijangka dapat memberi sumbangan positif kepada aset bersih, pendapatan disatukan dan pendapat sesaham syarikat untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2021 hingga 30 Jun, 2022,” katanya.
KPower, yang terlibat dalam aktiviti daripada pembinaan berkaitan tenaga lestari hingga pembuatan kain hari ini mengumumkan cadangan pengambilalihan saham sebanyak 70 peratus dalam GranuLab Sdn Bhd pada harga RM1 juta.
Granulab yang dimiliki sepenuhnya oleh SIRIM Bhd adalah syarikat berstatus Bio-Nexus yang terlibat dalam pembuatan peralatan perubatan berkaitan cantuman tulang dan semua aktiviti berkait kepada pembuatan peralatan perbuatan dan produk perubatan.
— BERNAMA