Laporan Laksana Kedua Pencapaian Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) -MOF

KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan akan mempercepatkan penyediaan dokumentasi projek dan memulakan proses cabut undi secara dalam talian demi memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi terutama projek berskala kecil yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini bertujuan memastikan kontraktor mempunyai peluang sama rata serta menurunkan punca kuasa mengeluarkan surat kebenaran beroperasi untuk projek kecil G1-G2 kepada agensi pelaksana.

“Adalah diharapkan selepas tamatnya PKP, syarikat-syarikat bersedia untuk melaksanakan projek berskala kecil ini dengan serta-merta demi manfaat rakyat,” katanya pada sesi perkongsian Laporan Laksana Kedua Pencapaian Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di laman Facebook beliau, hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan peruntukan RM4 bilion untuk menyokong perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 bilion telah pun bermula iaitu moratorium, i-Lestari, BHP dan subsidi upah.

Setakat 17 April, 2020, sebanyak 1.5 juta daripada 2.8 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan yang melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta bagi Mei 2020.

Menurutnya, melalui permohonan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP masing-masing dalam usaha meringankan beban yang dihadapi.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )