
Lebih 120 hektar padi tenggelam akibat banjir di Bagan Serai
IPOH,. Kerajaan negeri Perak meminta pesawah di Kerian yang padi mereka ditenggelami air membuat laporan kepada Jabatan Pertanian negeri atau pihak berwajib lain secepat mungkin bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata setakat ini seluas 125 hektar tanaman padi di Bagan Serai di daerah itu ditenggelami air sejak lima hari lepas akibat banjir kilat.
Lokasi terlibat ialah Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 dan 2 Padang Lalang, Parit 3 dan 4 Alor Setanggok serta Sungai Kepar, melibatkan 75 petani, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kejadian banjir itu berpunca daripada pelepasan air daripada kolam takungan di Bukit Merah, Semanggol yang mengalami lebihan kapasiti susulan hujan lebat sejak dua minggu lalu.
Selain itu, Abdul Yunus berkata sawah turut ditenggelami air disebabkan oleh paras air Sungai Kurau yang tinggi menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan.
Katanya Jabatan Pertanian sedang membuat bancian awal lot yang terlibat bagi penyediaan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi manakala pihak Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan pam-pam bergerak untuk mengurangkan kesan banjir.
“Selepas tujuh hari tenggelam baru boleh buat anggaran berapa jumlah kerugian kerana tempoh itu padi telah musnah. Kalau lima hari masih berpeluang hidup,” kata Abdul Yunus.
Kerian merupakan kawasan jelapang padi di negeri ini selain Seberang Perak.
— BERNAMA