Lebih sejuta kanak-kanak kurang nutrisi akibat COVID-19 – PBB

Lebih sejuta kanak-kanak kurang nutrisi akibat COVID-19 – PBB

PARIS,. Pandemik COVID-19 yang turut mencetuskan krisis sosial dan ekonomi global dijangka mengakibatkan lebih sejuta kanak-kanak berdepan masalah kurang nutrisi.

Malah, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebelum pandemik itu berlaku, kira-kira 47 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun berdepan dengan masalah kurang makanan berzat, kebanyakannya di Afrika dan Asia Tenggara.

Kini, apabila perintah berkurung dan kekangan urus niaga antarabangsa mengganggu bantuan bekalan, PBB menjangkakan pandemik itu akan memberi kesan terhadap kesihatan jutaan penduduk melangkaui beberapa generasi.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu surat, berkata masalah itu sedikit sebanyak boleh diatasi sekiranya agensi bantuan kemanusiaan memperoleh tambahan minimum $2.4 bilion (RM10.1 bilion).

“Kita perlu bekerjasama secara lestari sekarang supaya krisis COVID-19 tidak meninggalkan generasi kanak-kanak yang terjejas akibat kebuluran, kekurangan nutrisi dan makanan berzat,” katanya.

Menurut laporan jurnal kesihatan The Lancet, unjuran PBB itu dibuat berdasarkan kajian sekumpulan pakar terhadap rantaian bekalan makanan di 118 negara miskin dan berpendapatan sederhana.

Mereka mendapati kebarangkalian berlaku kekurangan nutrisi sederhana hingga teruk dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun akan meningkat 14.3 peratus, bersamaan dengan 6.7 juta kes.

Kekurangan nutrisi menyebabkan kehilangan berat yang serius kerana otot dan lemak akan hilang.

Kajian itu turut menemui hubung kait yang jelas antara kekurangan berat badan dengan keadaan kesihatan yang kritikal di kemudian hari.

“Kesan COVID-19 yang mendalam terhadap kesihatan awal kanak-kanak akan menyebabkan perkembangan mereka terbantut termasuk dalam pendidikan, risiko penyakit kronik serta pembentukan sumber manusia,” katanya.

Model itu juga merumuskan senario kes terburuk dengan menjangkakan pandemik itu akan mengancam keperluan nutrisi hampir 50 peratus kanak-kanak, mengakibatkan hampir 180,00 maut tahun ini saja.

Ia juga dikhuatiri mengakibatkan satu kematian dalam setiap 10 bayi di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini berikutan kajian terbaru yang menunjukkan 140 juta lagi penduduk dunia akan terjerumus dalam kemiskinan tegar dengan menyara diri berbekalkan kira-kira AS$1.90 (RM8) sehari.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )