
Lingard akui ‘hilang arah’
MANCHESTER,. Jesse Lingard mendakwa dia “hilang arah sebagai pemain dan individu” buat Manchester United musim lalu.
Lingard, yang membuat hanya sembilan permulaan di Liga Perdana, membuka mulut mengenai pergelutan peribadi dialaminya dan berkata musim itu “sukar kerana banyak sebab”.
Pemain tengah United itu yang disenaraikan untuk England pada Piala Dunia 2018, hilang tempat dalam skuad kebangsaan dan kelab kerana penurunan prestasi dan dia juga bergelut dengan masalah peribadi.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaga adiknya selepas ibunya sakit musim lalu tetapi prestasinya semakin menurun di padang kerana dia gagal menyelesaikan masalah dihadapinya.
“Musim itu menjadi sukar kerana banyak sebab,” kata Lingard di Instagram.
“Saya hilang arah sebagai pemain dan individu, tapi saya tidak mahu berputus asa.
“Saya tahu siapa diri saya di dalam dan luar padang, saya pernah berada di situ dan saya boleh kembali ke sana sekali lagi.
“Ia bermakna saya perlu bekerja lebih keras berbanding sebelumnya dan mempercayai mereka yang berada di sekeliling saya yang tahu cara terbaik buat saya mencapainya.” – Agensi