
MAFI cadang hasilkan varieti beras wangi baharu untuk tingkat sara hidup pesawah
PASIR PUTEH,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bercadang membangunkan lebih banyak varieti beras wangi tempatan yang lebih berkualiti dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan petani.
Timbalan Menteri Pertanian II Datuk Che Abdullah Mat Nawi., berkata usaha itu memerlukan penglibatan pelbagai agensi termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) untuk menghasilkan benih padi baharu dan memastikan tahap sara diri pesawah dapat dicapai sehingga 75 peratus seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi industri padi.
“Kerajaan sedia membantu meningkatkan pengeluaran beras wangi tempatan dengan menyalurkan pelbagai bantuan subsidi dan insentif sebagaimana yang dinikmati pesawah lain di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk beras wangi Kelantan yang diusahakan pesawah tempatan di Pusat Belian Padi Jelapang Timur Enterprise, Banir Belikong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata pengguna kini hanya mengenali beras wangi import dari negara jiran dan mereka seharusnya menukar selera dengan memilih produk tempatan yang setanding kualitinya, malah terhasil daripada penyelidikan yang memanfaatkan kesihatan.
Justeru itu, katanya MAFI akan memperluaskan tanaman padi wangi daripada keseluruhan kawasan jelapang termasuk di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
“Ketika ini, anggaran import beras wangi adalah sebanyak 40 peratus daripada jumlah import beras secara keseluruhan dan MAFI amat menggalakkan pesawah tempatan untuk menanam padi wangi yang bernilai tinggi bagi memenuhi keperluan domestik,” tambahnya.
Beliau berkata varieti benih padi wangi MRQ 76 mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pesawah kerana ia mampu menghasilkan sekitar lima tan padi sehektar dengan harga belian RM1,500 setiap satu tan.
Sementara itu, Che Abdullah berkata usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran beras wangi menerusi anak syarikatnya Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan usaha sama Syarikat Kumpulan Mihoda dari Kedah amat digalakkan.
“Pelancaran beras wangi tempatan keluaran Kelantan hari ini yang dinamakan sebagai Beras Sida Wangi adalah satu usaha yang dibuat untuk mengangkat beras wangi ini sebagai Ikon Produk Premium bagi negeri ini,” katanya.
— Bernama