Bursa dijangka diniagakan tinggi pada minggu pertama 2024

Bursa dijangka diniagakan tinggi pada minggu pertama 2024

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi pada minggu pertama 2024 dengan kenaikan sederhana, didorong oleh saham perbankan dan teknologi.

Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Bhd Datuk Dr Nazri Khan menjangka pasaran tempatan akan diniagakan antara 1,450 dan 1,460 minggu depan dengan dijangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah.

“Selain itu, kami menyaksikan kenaikan pada akhir tahun didorong oleh faktor yang baik dan aktiviti memperelokkan akaun serta pengukuhan semalaman daripada Wall Street, selain petunjuk bahawa inflasi mereda dan kadar faedah dijangka turun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jumlah dagangan telah melonjak melepasi empat bilion unit dan suasana pasaran adalah positif, justeru, pasaran dijangka meningkat minggu depan.

Melihat kepada 2024, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata firma pembrokeran itu berpandangan positif terhadap prestasi ekuiti Malaysia, disokong oleh prospek bahawa Rizab Persekutuan AS akan memulakan pengurangan kadar faedah dan kembalinya dana asing ke rantau ini.

“Kami menjangka FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) akan berada pada sekitar paras 1,590, berdasarkan penilaian semasa pada anggaran 2024, dan akan menguji paras 1,650,” katanya.

Pada minggu depan, beliau mengunjurkan potensi kenaikan jika Indeks FBM KLCI melepasi paras halangan pada 1,465.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,450-1,470 minggu depan, dengan paras sokongan segera pada 1,450 diikuti 1,440,” katanya.

Pada minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti umum yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur dalam persekitaran dagangan rendah berikutan pelabur terus tidak memasuki pasaran berikutan cuti, dengan aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana selepas jualan baru-baru ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 0.28 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,454.66 daripada 1,454.38 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 27.86 mata kepada 10,988.71, Indeks FBM 70 jatuh 3.86 mata kepada 14,612.98 manakala Indeks FBM ACE naik 105.83 mata kepada 5,322.03, Indeks FBM Emas meningkat 3.78 mata kepada 10,823.70 dan Indeks FBMT 100 menambah 0.79 mata kepada 10,485.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.23 mata kepada 172.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 55.95 mata kepada 16,303.04 manakala Indeks Tenaga susut 0.87 mata kepada 817.73 dan Indeks Perladangan merosot 28.49 mata kepada 7,007.96.

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan jumlah dagangan yang rendah sebanyak 15.11 bilion unit bernilai RM9.38 bilion daripada 18.39 bilion unit bernilai RM12.04 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 9.41 bilion saham bernilai RM8.10 bilion daripada 10.75 bilion saham bernilai RM10.40 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.54 bilion unit bernilai RM187.568 juta daripada 3.04 bilion unit bernilai RM356.87 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 4.03 bilion saham bernilai RM1.08 bilion daripada 4.44 bilion saham bernilai RM1.28 bilion sebelum ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)