SERDANG,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkasakan dan mengetengahkan keupayaan usahawan luar bandar menerusi pameran Laman Us
SERDANG,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkasakan dan mengetengahkan keupayaan usahawan luar bandar menerusi pameran Laman Usahawan Desa @ MAHA 2026 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
KKDW dalam kenyataan memaklumkan penyertaan itu menjadi platform strategik untuk membantu usahawan desa memperluas pasaran menerusi pemasaran secara langsung, pembinaan jaringan perniagaan dan kerjasama rentas kluster industri.
Laman Usahawan Desa @ MAHA 2026 dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Ia menghimpunkan agensi di bawah KKDW termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Bhd dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Selain itu, yang turut mengambil bahagian ialah badan-badan kemajuan wilayah seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
“Penyertaan kali ini menjadi inisiatif berterusan KKDW dalam menyediakan program pemasaran dan sokongan keusahawanan bagi membantu usahawan desa meluaskan akses pasaran serta membina kerjasama strategik,” menurut kenyataan itu.
KKDW memaklumkan platform itu turut membuka peluang kepada usahawan desa untuk meneroka potensi perniagaan baharu selain memperkukuh jaringan dengan pelbagai kluster industri dan agensi pemasaran.
“Langkah ini bukan sahaja dapat meluaskan akses pasaran, malah memberikan peluang kepada usahawan membina kerjasama strategik dan meningkatkan jaringan perniagaan bersama-sama pelbagai kluster industri serta agensi pemasaran selain meningkatkan daya saing dan memperkukuh penjenamaan produk bagi menembusi pasaran lebih luas,” menurut kenyataan itu.
Antara tarikan utama menanti pengunjung termasuk reruai jualan usahawan, pameran agensi, pameran Desa Kirana, persembahan kebudayaan, perkampungan dan tarian Orang Asli, Bazar FELCRA serta perkhidmatan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti dandanan rambut serta penjagaan diri.
Pengunjung juga berpeluang menikmati aktiviti menarik lain seperti demonstrasi masakan dapur panas, aktiviti interaktif di zon kanak-kanak termasuk permainan dron dan ekskavator kawalan jauh (RC), permainan tradisional, persembahan busker serta sajian istimewa di RBC Kafe oleh usahawan bimbingan terpilih.
Dalam masa sama, Bahagian Pembangunan Usahawan Desa KKDW turut menyediakan peruntukan baucar penggalak jualan bernilai keseluruhan RM100,000 untuk diagihkan secara percuma kepada pengunjung bagi merancakkan jualan perniagaan usahawan desa sepanjang program berlangsung.
MAHA 2026 dari 28 Ogos hingga 6 Sept beroperasi dari 10 pagi sehingga 10 malam melibatkan penyertaan lebih 2,000 pempamer dan menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung.
— BERNAMA

