PUTRAJAYA,. Berbaki tiga hari sebelum kembali menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang membuka tirai pad
PUTRAJAYA,. Berbaki tiga hari sebelum kembali menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang membuka tirai pada 28 Ogos ini, Nur Liyana Abd Malek menghitung hari untuk membawa kisah kejayaan perniagaannya ke pentas yang pernah menjadi titik awal perjalanan beliau daripada usahawan kecil-kecilan kepada pengusaha yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Berkongsi kepada Bernama, Pengarah Urusan Boohachi Infinity Sdn Bhd berusia 36 tahun itu berkata penyertaan kali pertama pada MAHA 2014 bukan sekadar menjadi medan memperkenalkan produk, malah turut membuka ruang untuk beliau mengembangkan perniagaan berasaskan rumpai laut di bawah jenama Teego yang ketika itu diusahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah.
“Penampilan pertama produk saya kepada umum yang lebih besar ialah semasa MAHA 2014. Pada masa itu, saya bermula dengan satu reruai dan 10 pekerja. Saya hanya dapat satu rak kecil untuk paparkan produk saya.
“Saya mula beri sampel produk kepada pengunjung yang datang ke reruai saya. Dari situ, produk-produk saya mula dikenali,” kata usahawan wanita kelahiran Selangor yang mengemudi syarikat ditubuhkan pada 1 Julai 2021.
Penerima Anugerah Usahawan Belia Bumiputera 2018 itu berkata antara produk Teego yang mula diperkenalkan ketika itu ialah susu kambing, biskut dan snek pelbagai perisa.
“Kesemua 100 botol yang dibawa pada penyertaan pertama berjaya dijual, menyebabkan saya mula mengambil pekerja bagi membantu memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Daripada hasil jualan RM106,619 pada 2014, perniagaan Nur Liyana terus berkembang sehingga merekodkan jualan RM19.63 juta tahun lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan skala perniagaan yang dicetuskan daripada penyertaan awalnya di MAHA.
Beliau berkata pencapaian itu meningkatkan keyakinannya untuk terus mengembangkan perniagaan, selain menjadikan MAHA sebagai antara platform penting untuk memperkenalkan produk, membina rangkaian perniagaan serta mendapatkan pelanggan baharu.
“Setiap kali MAHA, acara ini memberikan sumber inspirasi kepada saya untuk mencuba lebih baik lagi,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak pernah terlepas peluang menyertai acara dwitahunan itu.
Nur Liyana berkata penyertaan MAHA 2024 mencatat pencapaian paling besar apabila produk keluaran syarikatnya berjaya menjual kira-kira sejuta botol susu dalam tempoh 11 hari menerusi enam lokasi pameran.
“Kejayaan ini dicapai dengan sokongan 14 pekerja yang mengendalikan jualan serta kira-kira tujuh pekerja di bahagian pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata MAHA turut memberikan impak positif kepada perniagaannya di luar tempoh pameran kerana strategi syarikat kini dirancang untuk mendapatkan manfaat sebelum, semasa dan selepas acara berkenaan.
“Lazimnya, apabila hari acara, kita akan tumpukan perhatian kepada acara itu semata-mata, tetapi sekarang tidak lagi. Saya fikir MAHA berbeza sebab saya dapat impak dari segi sebelum, semasa dan selepas MAHA,” katanya sambil berkata acara itu juga membantu meningkatkan kepercayaan terhadap jenama Teego dalam kalangan pelanggan, ejen, stokis dan pengedar, selain membuka peluang perniagaan antara syarikat.
Nur Liyana berkata kehadiran pelanggan antarabangsa di MAHA turut memberikan peluang kepada Teego memperkenalkan produk secara terus kepada pasaran luar negara, selain mendapat pendedahan tentang teknologi dan perkembangan industri.
Beliau berkata perkembangan produk susu yang kini boleh bertahan hingga 18 bulan pada suhu bilik turut membuka ruang kepada syarikat mengembangkan pasaran eksport di beberapa negara ASEAN termasuk Vietnam, Filipina, Kemboja dan Singapura.
Bagi MAHA 2026, Nur Liyana berkata Teego menyasarkan untuk memperluas penyertaan daripada enam kepada 10 lokasi, selain menetapkan sasaran jualan hingga tiga juta botol susu.
MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan” akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.
— BERNAMA

