
Mahkamah Thailand keluarkan waran tangkap terhadap aktivis pro-demokrasi
BANGKOK,. Mahkamah Thailand semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap enam aktivis pro-demokrasi yang menuntut rombakan pentadbiran negara dan perubahan terhadap sistem monarki.
Demonstrasi hampir setiap hari di Bangkok yang digerakkan pemimpin muda pergerakan pro-demokrasi itu mendapat kerjasama pihak berkuasa sebelum ini.
Namun, polis semalam mengesahkan mereka sudah memperoleh waran untuk menahan separuh daripada puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada aktivis terkenal.
Bercakap kepada AFP, Komander Polis Wilayah Pathum Thani, Chayut Marayat, berkata mereka akan didakwa di bawah akta berkaitan ‘hasutan, jenayah komputer, melanggar undang-undang kawalan penyakit dan penggunaan pembesar suara.
Walaupun perbuatan mempersoalkan monarki di Thailand adalah perkara yang dilarang sama sekali dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, suara golongan muda kini semakin lantang mencabarnya.
Dua daripada waran yang dikeluarkan semalam itu adalah untuk peguam hak asasi, Anon Numpa dan pemimpin pelajar, Panupong Jadnok iaitu aktivis yang pernah ditahan sebelum ini dan diikat jamin.
Kini mereka berdepan pertuduhan baharu berkaitan tunjuk perasaan pada 10 Ogos lalu di Universiti Thammasat.
Anon ialah aktivis pertama yang secara terbuka membincangkan mengenai pembaharuan terhadap sistem monarki di acara tunjuk perasaan bertemakan Harry Potter pada 3 Ogos lalu.
Kumpulan Peguam Hak Asasi Manusia Thailand berkata beliau ditahan sekali lagi semalam apabila mahu meninggalkan tempat kerjanya untuk menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan.
Perhimpunan di Thammasat yang menyaksikan Anon dan Panupong berucap mengenai sistem monarki itu berjaya mengumpulkan hampir 5,000 orang.
Penunjuk perasaan melakukan beberapa siri demonstrasi secara terang-terangan mengkritik kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha iaitu bekas
ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014.
Pada tunjuk perasaan di Thammasat, mereka turut menuntut pengurusan akaun kewangan istana yang lebih baik lagi telus dan penghapusan undang-undang melarang penghinaan terhadap institusi diraja atau ‘lese majeste’.
Gerakan itu kini dikesan merebak ke institusi sekolah tinggi di Thailand, dengan pelajar dilihat mengikat riben putih di rambut dan beg mereka untuk menunjukkan solidariti terhadap perjuangan pro-demokrasi itu.
Ratusan remaja berpakaian seragam turut terbabit dalam protes di luar Kementerian Pendidikan semalam, dengan melaungkan perkataan ‘dinasour’, merujuk kepada sistem pendidikan Thailand yang dianggap kuno dan jumud. – AFP