
Malaysia Airlines benarkan F&B alternatif laluan terjejas peralihan khidmat katering
KUALA LUMPUR,. Penumpang Malaysia Airlines dibenarkan membawa makanan sendiri dalam penerbangan bagi laluan yang terjejas semasa tempoh peralihannya kepada penyedia perkhidmatan katering baharu, kata Malaysia Airlines Bhd (MAB).
Bagaimanapun, makanan yang perlu dipanaskan sendiri dan makanan tidak halal adalah dilarang, katanya menerusi pautan Soalan Kerap Ditanya (FAQ) yang disiarkan di laman web https://www.malaysiaairlines.com.
“Bagi mereka yang memesan makanan khas, pilihan itu tidak tersedia buat masa ini. Oleh itu, kami membenarkan mereka untuk membawa makanan sendiri. Saranan ini hanya kepada laluan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Malaysia Airlines telah menamatkan kerjasama yang terjalin sejak dahulu lagi dengan penyedia perkhidmatan makanan Brahim’s Food Services (BFS) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, dan dalam tempoh peralihan kepada perkhidmatan katering baharu bagi laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaian Malaysia Airlines.
Dalam tempoh peralihan ini, penumpang masih dibekalkan dengan hidangan atau makanan dan minuman ringan dalam penerbangan, katanya.
Bagaimanapun, pelanggan yang terjejas dengan perubahan makanan yang ditawarkan termasuk bagi laluan domestik dan antarabangsa terpilih yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines, akan menerima tawaran makanan yang diubah semula dan makanan prabungkus, bergantung kepada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan, katanya.
Makanan prabungkus akan ditawarkan untuk penerbangan yang singkat, bergantung kepada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan, manakala makanan yang diubah semula akan disediakan untuk penerbangan lebih panjang.
Sehubungan itu, MAB menasihatkan penumpang yang terjejas untuk mengemas kini butiran untuk dihubungi di ‘My Booking’ pada laman web berkenaan bagi memastikan mereka menerima kemas kini pada waktunya menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas.
Pada 30 Ogos, Malaysia Aviation Group (MAG) selaku syarikat induk MAB memaklumkan akan mengaktifkan Pelan Kelangsungan Perniagaan (BCP) bagi perkhidmatan sajian makanan dalam penerbangan di laluan terpilih di bawah MAB berkuat kuasa pada 1 Sept 2023 susulan penamatan lanjutan kontraknya dengan BFS pada 31 Ogos 2023.
Kumpulan penerbangan itu juga menyifatkan BCP berkenaan sebagai menandakan berakhirnya legasi kerjasama perkhidmatan katering yang sebelum ini disediakan oleh BFS bagi laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaian MAB.
Laluan lain akan terus mendapat perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia sedia ada, POS Aviation, katanya.
— BERNAMA