BANGKOK,. Malaysia sedang memperkukuh persekitaran perniagaan, kepastian dasar dan daya tahan ekonomi bagi menarik pelaburan jangka panjang, dengan ju
BANGKOK,. Malaysia sedang memperkukuh persekitaran perniagaan, kepastian dasar dan daya tahan ekonomi bagi menarik pelaburan jangka panjang, dengan jumlah pelaburan langsung asing dan domestik mencatat paras tertinggi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya kerajaan juga mengukuhkan asas ekonomi negara menerusi peraturan yang jelas, dasar mesra perniagaan dan pembaharuan bagi memberikan lebih banyak kepastian kepada pelabur ketika menjalankan operasi di Malaysia.
“Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi lima peratus selama dua tahun berturut-turut dan pada masa sama mengekalkan inflasi yang stabil walaupun ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.
“Daya tahan merupakan kekuatan Malaysia,” katanya ketika berucap pada program Bloomberg Global Policy Series: ASEAN Growth Markets Spotlight – Competing and Connecting for Global Capital di sini pada Jumaat.
Amir Hamzah berkata Malaysia turut memfokuskan kepada usaha untuk meningkatkan kedudukan ekonominya dalam rantaian nilai dengan memperkukuh industri utama termasuk semikonduktor serta mengukuhkan rantaian bekalan domestik bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi dan meningkatkan daya saing negara dalam perdagangan global.
“Kami berhasrat memperluas rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem,” katanya sambil memaklumkan ekosistem perindustrian yang teguh akan membangunkan bakat tempatan, meningkatkan kebolehpercayaan rantaian bekalan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan global.
Amir Hamzah berkata kerajaan turut berusaha memperluas peranan pasaran swasta dalam pembentukan modal, sekali gus membolehkan pelabur mangkin dan modal teroka menyokong perniagaan serta memperkukuh kumpulkan syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di pasaran saham.
Menurutnya asas modal domestik Malaysia menyediakan landasan kukuh untuk pertumbuhan manakala penambahbaikan tadbir urus korporat dan penciptaan nilai akan membantu meningkatkan daya tarikan pasaran modal negara kepada pelabur antarabangsa.
Amir Hamzah turut menekankan kepentingan integrasi ASEAN termasuk hubungan yang lebih erat antara pasaran modal, sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan pembangunan Grid Tenaga ASEAN untuk membuka peluang pelaburan serta memperkukuh rantaian bekalan serantau.
Menurutnya Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kepelbagaian ekonomi dan pelaksanaan dasar secara konsisten bagi menyokong pertumbuhan mampan serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat secara lebih meluas.
“Apa-apa jua kejelasan yang telah kita berikan, kita telah melaksanakannya selaras dengan pendirian itu. Tiada kejutan,” katanya sambil menegaskan bahawa konsistensi dasar dan persekitaran perniagaan yang menyokong kekal menjadi teras kepada daya tarikan pelaburan Malaysia.
— BERNAMA

