
Malaysia ketengahkan empat acara perniagaan beri impak ekonomi
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Malaysia terus menjadi destinasi makmur dan paling berdaya saing di Asia dalam penganjuran acara perniagaan terkemuka peringkat global.
Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) berkata bagi separuh pertama tahun ini, ia memperoleh 301 acara perniagaan yang dihadiri 570,741 perwakilan termasuk 208,555 perwakilan antarabangsa, yang menyumbang impak ekonomi kira-kira RM3.9 bilion.
“Acara ini berlangsung antara 2019 dan 2028,” kata MyCEB, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam satu kenyataan. Antara acara utama ialah simposium University of Scholars Leadership (USLS 2019), Forum Perbandaran Ketujuh Asia-Pasifik (APUF 7) 2019, Persidangan Guru-Guru (ETC 2021) Majlis Sekolah-sekolah Serantau Asia Timur (EARCOS) ke-19, dan Conference of International Society of Travel Medicine (CISTM 2021).
Acara utama, USLS 2019 pada 1 Ogos, 2019 berjaya menghimpunkan 1,500 perwakilan, termasuk 1,200 perwakilan antarabangsa, dan menyumbang RM42.6 juta dalam anggaran impak ekonomi. Ini diikuti oleh APUF 7 pada 15 Okt, 2019 yang dijangka menarik 5,000 perwakilan, termasuk 1,500 perwakilan antarabangsa, dan membawa impak ekonomi sebanyak RM25.2 juta.
Persidangan EARCOS ETC 2021 berlangsung pada 24 Mac, 2021, menarik 800 perwakilan antarabangsa dan mewujudkan anggaran ekonomi bernilai RM16 juta. Tumpuan pada 19 Mei, 2021 ialah CISTM 2021 yang menjangkakan kehadiran lebih 1,600 perwakilan antarabangsa dan menyumbang RM3.7 juta dalam anggaran impak ekonomi.
Mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020), Malaysia menyenaraikan 37 acara perniagaan sehingga Julai 2019, dengan unjuran kehadiran lebih 44,600 perwakilan, khususnya dari industri penjagaan kesihatan, telekomunikasi, sains dan teknologi.
Perwakilan akan dipersembahkan dengan pelbagai keindahan — budaya, warisan, alam, geografi, sejarah di samping perayaan dan tarikan sepanjang tahun. Pada masa yang sama, VM 2020 menjanjikan perkhidmatan dan produk Malaysia terbaik sebagai hab acara perniagaan yang menarik.
MyCEB bersama rakan industri memperoleh rekod mengagumkan menerusi 1,100 acara perniagaan antarabangsa sepanjang 10 tahun lepas termasuk persidangan antarabangsa, mesyuarat korporat, insentif perjalanan dan pameran perdagangan yang menyumbang sebanyak RM8.5 bilion kepada ekonomi negara.
— BERNAMA