PUTRAJAYA,. Malaysia dan Maldives telah mengesahkan semula komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama dalam kelestarian alam sekitar dan daya tahan i
PUTRAJAYA,. Malaysia dan Maldives telah mengesahkan semula komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama dalam kelestarian alam sekitar dan daya tahan iklim susulan kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Dr Mariyam Shabeena Ahmed kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh pada Isnin, 25 Mei 2026.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat beliau di Putrajaya itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan mesra antara kedua-dua negara, yang didorong oleh hubungan kebudayaan serta Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada komuniti diaspora Maldives terbesar di dunia, yang merangkumi kira-kira 4,000 hingga 5,000 warga Maldives, termasuk lebih 2,500 pelajar berdaftar yang sedang melanjutkan pengajian di negara ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan cabaran global yang dikongsi bersama, khususnya ancaman perubahan iklim dan kenaikan paras air laut yang semakin meningkat terhadap sektor perikanan dan pertanian.
NRES menyambut baik inisiatif inovatif Maldives dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, termasuk penerokaan tenaga haba lautan sebagai alternatif bagi mengatasi kekangan berkaitan pemasangan panel solar.
Malaysia turut mengiktiraf amalan perikanan mampan Maldives, yang dilihat sebagai komponen penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar negara tersebut.
Kedua-dua pihak turut bersetuju mengenai keperluan mendesak untuk memperkukuh infrastruktur berdaya tahan iklim serta meningkatkan usaha pemuliharaan terumbu karang susulan peningkatan suhu lautan.
Bagi menyokong perkongsian teknologi dan penyelesaian hijau, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah memanjangkan jemputan rasmi kepada delegasi Maldives untuk menyertai Pameran dan Persidangan Antarabangsa Greentech & Produk Eko Malaysia (IGEM), yang akan berlangsung pada Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bertemakan ‘Race Towards Net Zero’, IGEM dijangka menjadi platform strategik diplomasi hijau dengan mengetengahkan inovasi infrastruktur pulau pintar serta meneroka peluang padanan perniagaan dua hala.
NRES menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif serantau dan antarabangsa dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar global demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

