MARC: OPR dijangka kekal tidak berubah pada 1.75 peratus

MARC: OPR dijangka kekal tidak berubah pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR,. MARC Ratings Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 4 Mac.

Agensi penafaran itu berkata ia menjangkakan BNM akan menyatakan pendirian berhati-hati di samping mengekalkan penilaiannya ke atas prospek ekonomi dan inflasi.

“BNM telah berada dalam status quo ini sejak Julai 2020 bagi menyokong pemulihan ekonomi yang tidak kukuh,” menurut MARC dalam kenyataan pada Selasa.

Ekonomi Malaysia dilihat tidak bersedia kepada normalisasi monetari di tengah-tengah ketiadaan sebarang isyarat terhadap pemulihan yang kukuh dari segi permintaan, katanya.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada suku keempat 2021 mencatatkan 3.6 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2021: -4.5 peratus), dipacu terutamanya berikutan pengurangan dari segi penawaran.

“Peningkatan semula berkemungkinan lebih tinggi, namun dijejaskan oleh permintaan yang lembap selain pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah.

“Selain itu, risiko penurunan terhadap pertumbuhan masih ketara dalam keadaan ketidaktentuan yang meningkat membabitkan tindak balas pandemik dan ketegangan geopolitik yang bertambah,” katanya.

MARC berkata inflasi itu dijangka kekal sederhana.

Pada Januari 2022, inflasi keseluruhan merosot kepada 2.3 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan terdahulu, manakala inflasi teras mencatatkan peningkatan, namun masih di bawah sasaran dua peratus iaitu 1.6 peratus.

Tekanan inflasi dijangka kekal dengan tolakan kos buat masa ini, kebanyakannya daripada makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang lebih satu perempat daripada kumpulan inflasi teras.

“Kami melihat peningkatan risiko inflasi yang selanjutnya daripada harga komoditi yang lebih tinggi dan kelemahan ringgit akibat perang Rusia-Ukraine untuk hanya berterusan dalam masa terdekat dan akan dikekang oleh permintaan yang kekal lembap.

“Oleh itu, kami menjangkakan kerajaan akan menjalankan langkah dasar jangka pendek dengan menghalang kenaikan harga melalui subsidi dan mekanisme kawalan harga yang lain,” katanya.

Agensi penarafan itu menyifatkan cadangan Majlis Pemulihan Negara untuk membuka semula sempadan Malaysia, sebagai perkembangan yang positif.

Bagi mencapai hasrat ini, kajian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) secara meluas perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keyakinan pengguna.

“Kami berpendapat, kadar faedah lebih tinggi hanya boleh dilaksanakan melalui perubahan yang mendadak dalam persekitaran luaran atau tahap pelepasan yang lebih pantas di tengah-tengah kenaikan kos input.

“Perubahan mendadak ke atas dasar monetari dijangka tidak berlaku dan penetapan monetari akan kekal cukup akomodatif pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )