Masa Depan Keusahawanan Eko-Pelancongan Cerah – Mustaffa Kamil

HomeFeaturedGaya Hidup

Masa Depan Keusahawanan Eko-Pelancongan Cerah – Mustaffa Kamil

GERBANGPOST 16 Feb 2026 - Mini Karnival Kesejahteraan dan Keusahawanan - Eko Pelancongan (MIKEP) Pesisir Sungai Perak 2026 yang berlangsung pada 15 Fe

PETRONAS sahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen sehingga akhir Jun
Singapura alu-alukan gencatan senjata di Asia Barat, sifatkan langkah penting reda ketegangan
Ringgit dibuka rendah pada pagi ini

GERBANGPOST 16 Feb 2026 – Mini Karnival Kesejahteraan dan Keusahawanan – Eko Pelancongan (MIKEP) Pesisir Sungai Perak 2026 yang berlangsung pada 15 Februari 2026 telah melakar satu lagi detik bermakna dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pendekatan kesejahteraan, keusahawanan dan eko-pelancongan. Program dengan kelolaan utamanya oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Kangsar telah diadakan di Kompleks Inap Desa KHAAF, Kg Guar, MANONG, Perak telah menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, usahawan tempatan, komuniti setempat serta pengunjung dari pelbagai daerah terutamanya di pesisiran Sg Perak.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), yang menekankan kepentingan melihat potensi ekonomi melalui pendekatan baharu yang lebih kreatif dan inklusif, khususnya dalam sektor eko-pelancongan yang berupaya menjadi pemangkin pembangunan luar bandar.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekonomi di kawasan pesisir perlu dilaksanakan secara lebih berstruktur dan berdaya tahan agar manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang. Menurut beliau, penglibatan anak tempatan merupakan katalis utama kepada kejayaan sesuatu inisiatif, kerana mereka lebih memahami potensi dan keunikan kawasan sendiri. Justeru, pelaksanaan projek dan aktiviti yang memberi kesan nyata kepada masyarakat setempat perlu diberi keutamaan agar kesejahteraan dapat dirasai secara langsung.

Selain itu, menurut beliau juga, usaha ini dilihat sebagai satu strategi penting untuk mengekalkan penduduk, khususnya golongan muda, agar terus menetap dan membina masa depan di kawasan sendiri. Konsep pembangunan yang dipacu oleh komuniti dan dipermudahcara oleh kerajaan ditekankan sebagai kunci kejayaan kepada kelestarian program seumpama ini. Dalam menghadapi cabaran masa depan termasuk peluang pekerjaan yang semakin terhad akibat perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), beliau juga menyeru agar peluang ekonomi di luar bandar diperkasakan melalui keusahawanan dan eko-pelancongan serta menjadikan penguasaan AI sebagai alat memacu ke hadapan.

Program MIKEP 2026 turut diserikan dengan Slot Dialog Usahawan MADANI yang menjadi platform perkongsian pengalaman, idea dan jaringan kerjasama antara usahawan serta agensi berkaitan. Sesi ini membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi perniagaan baharu, cabaran yang dihadapi usahawan serta sokongan yang boleh diberikan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan setempat.

Beliau juga melahirkan rasa syukur diatas kejayaan pelaksanaan MIKEP 2026 yang berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 orang, melebihi sasaran awal penganjuran. Kehadiran pengunjung, pempamer agensi dan produk, peniaga, penyertaan jualan Rahmah, pertandingan, pertunjukan serta sokongan penceramah dan tetamu kehormat telah mencipta suasana yang meriah dan bermakna.

Rata-rata pihak yang terlibat menyatakan kepuasan terhadap penganjuran program ini dan melihatnya sebagai satu platform yang berpotensi besar dalam menggerakkan ekonomi komuniti. MIKEP 2026 menjadi lebih bermakna apabila pelbagai pihak menunjukkan kesediaan untuk meneruskan aktiviti serta pelan tindakan susulan dalam memperkukuh gerak kerja keusahawanan dan eko-pelancongan demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di pesisir Sungai Perak. Malah, terdapat hasrat bersama untuk meneruskan kesinambungan program melalui MIKEP 2027 dan tahun-tahun seterusnya.

Tambah beliau, sesungguhnya kejayaan MIKEP 2026 adalah hasil daripada komitmen, kerja berpasukan dan keikhlasan sumbangan semua pihak yang terlibat. Penghargaan dirakamkan kepada setiap penggerak, sukarelawan, agensi dan komuniti yang telah menyumbang tenaga dan idea bagi menjayakan program ini. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan menjadi bukti bahawa apabila komuniti dan pihak berkepentingan berganding bahu, usaha membangunkan ekonomi setempat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Unit Media MIKEP /Gerbangpost