KUALA LUMPUR,. MBSB Bank Bhd menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM66.35 juta kepada GO Energy Sdn Bhd (GESB) bagi menyokong pembangunan dan pe
KUALA LUMPUR,. MBSB Bank Bhd menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM66.35 juta kepada GO Energy Sdn Bhd (GESB) bagi menyokong pembangunan dan pelaksanaan projek fotovolta solar (PV) di seluruh negara.
Menurutnya pembiayaan itu merangkumi RM63.3 juta bagi membiayai sebahagian kos pembinaan dan pembangunan sistem penjanaan solar PV untuk kegunaan sendiri di 13 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh negara serta RM3.05 juta bagi membiayai sebahagian pemasangan sistem solar PV atas bumbung di 35 stesen BHPetrol di Malaysia.
“Projek-projek berkenaan dijangka memperluas penggunaan penyelesaian tenaga bersih dalam sektor pendidikan dan komersial di samping menyumbang kepada aspirasi kemampanan negara melalui pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu (TBB),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi projek UiTM, GESB akan membangunkan kemudahan solar PV yang merangkumi pemasangan atas bumbung, parkir berbumbung solar dan pemasangan di atas tanah di 13 kampus di bawah perjanjian pembekalan tenaga jangka panjang.
Menurut MBSB inisiatif ini dijangka membolehkan kampus UiTM memanfaatkan penjanaan TBB di samping menyokong usaha mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.
Sementara itu, projek BHPetrol melibatkan pemasangan, pengendalian dan penyelenggaraan sistem solar PV atas bumbung di 35 stesen BHPetrol terpilih di seluruh negara.
“Melalui program ini, tenaga elektrik yang dijana akan digunakan sepenuhnya di premis berkenaan, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga serta memperkukuh amalan perniagaan mampan dalam sektor peruncitan bahan api,” menurutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBSB Rafe Haneef dalam kenyataan sama berkata tenaga solar bukan sekadar mencerminkan komitmen terhadap kemampanan, malah memberikan manfaat langsung kepada prestasi kewangan organisasi.
Beliau berkata melalui pembiayaan sistem solar atas bumbung dan pemasangan di kampus UiTM serta stesen BHPetrol, MBSB membantu institusi dan organisasi berkenaan menikmati bekalan elektrik yang dijana sendiri pada kos yang lebih kompetitif untuk jangka panjang.
Menurutnya langkah ini sekali gus mengurangkan pendedahan mereka terhadap kenaikan tarif elektrik pada masa hadapan serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.
“Kami menggalakkan lebih banyak perniagaan dan syarikat korporat bekerjasama dengan kami kerana kami telah memperuntukkan RM1 bilion bagi mempercepat penggunaan tenaga solar merentasi pelbagai sektor.
“Inisiatif ini disokong pasukan yang berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran khusus dalam industri tenaga solar,” katanya.
CEO UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd Noor Iziddin Abdullah Ghazali pula berkata pelaksanaan projek ini akan memberikan penjimatan kos tenaga yang ketara kepada kampus UiTM serta meningkatkan kepastian perancangan kewangan dalam jangka panjang.
“Pengurangan kebergantungan kepada elektrik daripada grid membolehkan lebih banyak sumber disalurkan kepada misi utama kami dalam bidang akademik sambil memperkukuh komitmen universiti terhadap kemampanan,” katanya.
— BERNAMA

