MCMC rekod peningkatan 24 kali ganda kandungan memudaratkan di media sosial tahun ini

MCMC rekod peningkatan 24 kali ganda kandungan memudaratkan di media sosial tahun ini

KUALA LUMPUR,. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merekodkan peningkatan sebanyak 24 kali ganda kandungan memudaratkan di platform media sosial serta Over-The-Top (OTT) termasuk Meta dan TikTok iaitu daripada 1,019 pada 2022 kepada 25,642 tahun ini.

MCMC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan disebabkan itu, permohonan kerajaan untuk menurunkan kandungan di platform media sosial bagi 2023 telah meningkat dan ia bertujuan melindungi pengguna daripada kandungan yang memudaratkan dalam talian dan bukannya membataskan kepelbagaian pandangan.

“Kandungan tersebut termasuk penipuan, penjualan haram, perjudian, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian, menimbulkan ancaman kepada fabrik sosial dan institusi-institusi di Malaysia.

“Ucapan berbaur kebencian terutamanya mempunyai potensi untuk mencetuskan keganasan, diskriminasi dan gangguan sekali gus mencerminkan kepentingan untuk menguatkuasakan undang-undang serta kawal selia untuk penyederhanaan dan penurunan kandungan bagi melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan,” katanya.

Menurut MCMC, adalah penting untuk kerajaan, badan kawal selia dan platform OTT bekerjasama bagi menangani isu ini dan pada masa sama, menegakkan kepelbagaian pandangan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua pengguna di alam maya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pemilik Facebook iaitu Meta dan TikTok China telah menyekat sebilangan besar hantaran di akaun serta media sosial di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2023.

Ini berlaku di tengah-tengah lonjakan permintaan kerajaan untuk menurunkan kandungan.

Menurut laporan, Meta menyatakan bahawa antara bulan Julai 2022 dan Jun 2023, ia telah menyekat akses kepada lebih 3,500 item sebagai respons kepada laporan pengawal selia komunikasi negara serta agensi kerajaan yang lain.

Kandungan yang disekat termasuk kritikan terhadap kerajaan dan hantaran yang didakwa melanggar undang-undang berkaitan judi haram, ucapan kebencian, kandungan yang memecahbelahkan kaum dan agama, bersifat membuli dan penipuan kewangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)