Mohd Ali zahirkan penghargaan kepada Mohd Khalil

Mohd Ali zahirkan penghargaan kepada Mohd Khalil

MELAKA,. Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam semalam menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang berkhidmat dengan cemerlang selama 16 tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Keenam.

Tun Mohd Ali berkata khidmat bakti serta idea Tun Mohd Khalil amat berharga dan menyumbang kepada kepesatan pembangunan serta kemajuan negeri juga seluruh rakyat Melaka.

“Semenjak Tun (Mohd Khalil) memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka banyak pencapaian dan kejayaan telah diraih sama ada dalam negeri, negara mahupun di peringkat antarabangsa yang sudah pastinya memberikan kesan mendalam dan impak besar kepada pembangunan Melaka.

“Sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa turun padang, Tun merupakan penasihat yang bersama pentadbiran kerajaan negeri, sentiasa berusaha membangunkan Melaka sebagai negeri pelancongan peringkat antarabangsa,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah tugas Yang di-Pertua Negeri Melaka di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Mohd Khalil.

Hadir pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mohd Ali berkata dalam pengalamannya menjadi Ketua Menteri Melaka Kesembilan, Mohd Khalil amat banyak membantu dalam usaha kerajaan negeri, antaranya untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia pada Julai 2008 daripada UNESCO.

“Tun juga mahir dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Perancis yang mana ini amat memudahkan apabila Tun bersama-sama kita melaksana tugas di luar negara. Saya dan orang Melaka lain terutama anak muda perlu contohi Tun kuasai pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau berkata Mohd Khalil juga dikenali sebagai seorang yang versatile mempunyai pelbagai kebolehan selain seorang berjiwa seni dan mempunyai minat sangat mendalam terhadap seni lukis malah telah menghasilkan lebih 100 catan lukisan.

Sementara itu Mohd Khalil dalam ucapannya pada majlis sama berkata senang berada di Melaka kerana ramai yang melakukan yang terbaik untuk membangunkan Melaka dan berharap pentadbiran semasa akan meneruskan kecemerlangan mereka.

“Satu nasihat yang saya dapat berikan adalah jangan terlalu serius, perlu ada unsur humor, dan nikmati hidup ini sebaiknya, jika tidak hidup akan jadi amat membosankan. Saya sentiasa akan mengingati semua petugas saya, kerana tanpa mereka, saya tidak akan mampu bergerak (sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka),” katanya. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )