
MOM dijangka hantar 140 atlet ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham
KUALA LUMPUR,. Malaysia dijangka menghantar kira-kira 140 atlet ke temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Malaysia diperuntukkan dengan kuota 92 tempat manakala selebihnya adalah berdasarkan kelayakan mengikut merit.
“Kita juga mendapat dua slot tambahan untuk atlet terjun negara Jellson Jabillin dan Nur Dhabitah Sabri manakala pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) dan dua atlet angkat berat – Muhamad Aznil Bidin (61kg) dan Mohamad Aniq Kasdan (55 kg) – sudahpun layak.
“Kita berharap ramai lagi atlet yang akan layak menerusi program kelayakan masing-masing, contohnya ping pong, hoki dan bola tampar pantai,” katanya pada sidang media pelancaran Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata kontinjen Malaysia kali ini sedikit berkurangan berbanding purata 170 orang sebelum ini, memandangkan tuan rumah mengurangkan jumlah acara dipertandingkan termasuk mengenepikan acara menembak dan memanah.
Beliau berkata maklumat terperinci mengenai Sukan Komanwel, terutama berkaitan garis panduan dan protokol COVID-19, akan dimaklumkan selepas mesyuarat pertama ketua kontinjen (CDM) yang diadakan secara maya pada 24-27 Jan. Delegasi Malaysia diketuai oleh CDM Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia David Thomas berkata penganjur akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan kesemua peserta pada temasya di Birmingham 2022 susulan kebimbangan penularan COVID-19.
“(Kami) Mahu memastikan keselamatan semua orang, termasuk atlet, pegawai, pelawat dan sukarelawan menjadi keutamaan penganjur. Kita akan pastikan interaksi secara bersemuka adalah selamat.
“Satu pasukan pakar akan memantau situasi berkaitan pandemik,” katanya sambil menambah larian baton akan dianjurkan di 72 negara Komanwel dan merentasi wilayah seluruh dunia selama 294 hari.
Baton berkenaan yang menjelajah sejauh 140,000 kilometer memulakan jelajah di London pada 7 Okt dan sudah mengembara ke negara seperti Malta, Nigeria, Afrika Selatan, India dan Singapura sebelum tiba di Malaysia melalui kiriman Pos Malaysia.
Setelah menjelajah ke beberapa tempat di Malaysia hingga 24 Jan ini, baton berkenaan akan meneruskan perjalanan ke Brunei.
— BERNAMA