
Moratorium bagi sektor besi dan keluli dilanjutkan – MITI
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mendapat persetujuan daripada Majlis Pelaburan Negara (MPN) untuk melanjutkan moratorium semasa bagi sektor besi dan keluli Malaysia, yang akan berakhir pada Ogos 2025.
MITI berkata pelanjutan ini merangkumi sektor huluan produk keluli panjang dan semakan kepada tempoh moratorum akan dibuat apabila pemain domestik sedia ada mencapai penggunaan kapasiti hampir 80 peratus.
Selain itu, MITI juga akan melanjutkan moratorium ke atas sektor huluan produk keluli rata dan mengehadkan peningkatan kapasiti yang besar.
“Pendekatan ini bertujuan antara lain untuk menangani ketidaksepadanan antara kapasiti dan penggunaan domestik dan menambah baik amalan industri ke arah penggunaan teknologi pematuhan pelepasan.
“Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus sektor bagi meningkatkan daya saing dan pengeluaran produk keluli bernilai tambah tinggi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MITI juga menyedari keperluan tadbir urus dan penyelarasan industri yang kukuh untuk menyokong transformasi industri.
“Justeru, MPN bersetuju untuk menstruktur semula Malaysia Steel Institute (MSI) dan Majlis Keluli Malaysia (MSC) untuk mengukuhkan dan mengutamakan fungsi semasa mereka. Penstrukturan semula ini akan meningkatkan penguatkuasaan peraturan, memastikan penyelarasan antara agensi utama dan menggalakkan persaingan yang adil.
“Ia juga akan meningkatkan pengurusan kapasiti dengan meningkatkan ketelusan dan meningkatkan daya saing dan ekonomi sektor. Institusi yang diperkukuh juga akan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan laluan penyahkarbonan sektor keluli secara keseluruhan,” katanya.
MITI berkata MPN turut bersetuju dengan syor agar kerajaan mempercepat pelaksanaan dan penstrukturan semula cukai karbon dan mekanisme harga karbon untuk industri intensif pelepasan, dengan sektor keluli menerajui pematuhan sektor lain.
“MITI akan mewujudkan pelan hala tuju penyahkarbonan yang merangkumi pelaksanaan peraturan untuk mengukur, melaporkan, dan mengesahkan tahap pelepasan GHG (gas rumah hijau) bagi semua pemain keluli di Malaysia, sebagai blok binaan asas untuk harga karbon dan mekanisme karbon lain,” katanya.
–BERNAMA