Muhammad Shah Firdaus mungkin terlepas peluang tambah mata kelayakan

Muhammad Shah Firdaus mungkin terlepas peluang tambah mata kelayakan

KUALA LUMPUR,. Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkemungkinan terlepas aksi di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 (Nations Cup) kerana mengalami kecederaan akibat kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional di Nilai, Selasa lepas.

Muhammad Shah Firdaus berkata, beliau yang sepatutnya berlepas ke Australia Sabtu ini, bagaimanapun masih menunggu keputusan daripada barisan kejurulatihan untuk menentukan sama ada akan menyertai kejohanan berlangsung pada 2 hingga 4 Feb di Adelaide itu, atau melupakan hasrat berbuat demikian.

Jika terpaksa melupakan penyertaan di Piala Negara-Negara kali ini, pelumba diberi julukan The Terminator Shah itu terlepas peluang menambah pungutan mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Perancangan awal, saya hanya mahu menyertai Nations Cup di Australia dan Hong Kong pada Mac untuk memastikan mata ke Olimpik lebih terjamin, jadi saya tidak perlu ke Nations Cup di Kanada pada April sebab tidak mahu perjalanan jauh.

“Tetapi kalau awal-awal sudah tidak dapat sertai, ia akan merencatkan perancangan saya. Kalau dari segi mata ke Olimpik saya sudah layak, cuma saya perlu mengukuhkan kedudukan kerana sekarang kelayakan ke Olimpik masih berjalan,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan mengenai kemalangan dialaminya, atlet berusia 28 tahun itu berkata, beliau terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikal ditunggangnya meletup semasa sedang memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya.

Menurutnya, kecederaan dialami agak serius apabila melibatkan bahu kirinya, luka di keseluruhan bahagian paha dan bengkak di buku lali menyebabkan beliau tidak mampu untuk berjalan.

“Masa kayuh ada dengar bunyi sesuatu, masa tengah selekoh tayar belakang meletup dan saya terus jatih. Mereka (jurulatih) bergegas bawa saya naik ambulans ke Institut Sukan Negara (ISN).

“Bila scan tiada yang patah. Saya tengah kecewa, pening kepala memikirkan masa-masa penting ini boleh cedera. Tapi tak boleh nak buat apa, ISN suruh saya rehat. Saya hari-hari cuci luka supaya cepat sembuh,” katanya yang menyifatkan kemalangan dialami sama seperti menimpa Datuk Azizulhasni Awang ketika melakukan persiapan ke Sukan Asia Hangzhou 2022.

Tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek telah bermula sejak 19 Julai tahun lepas hingga 14 April ini.

Sebagai rekod, Muhammad Shah berjaya merangkul pingat perak acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir pada Mac sebelum beliau menyambar pingat perak acara sama di Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM) di Ghent pada April.

Beliau juga turut berjaya peroleh gangsa bagi acara pecut dan keirin pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)