My30 jimat 60 Peratus berbanding My100 – CEO Rapid Rail

My30 jimat 60 Peratus berbanding My100 – CEO Rapid Rail

KUALA LUMPUR,. Pas perjalanan tanpa had My30 oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penjimatan sehingga 60 peratus berbanding My100, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran.

Beliau berkata dengan melanggan pas bulanan itu, penjimatan maksimum boleh dinikmati semua warganegara Malaysia dari 15 Jun hingga 31 Dis tahun ini.

“Dengan My30, pengguna boleh jimat 60 peratus berbanding My100. Hanya RM1 sehari, selama sebulan mereka boleh menggunakan semua pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang secara tanpa had.

“Produk ini (My30) juga sebagai penjana kepada ekonomi. Ada penjimatan, pengguna boleh gunakan untuk menjana semula ekonomi negara. Dengan hanya RM30, mereka boleh bergerak ke mana-mana sahaja. Pergerakan dan perbelanjaan yang ada itu boleh menggerakkan lagi ekonomi,” katanya pada program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Tambahnya, pas bulanan itu direka bagi membantu mereka yang terjejas daripada segi kewangan susulan pandemik COVID-19.

Ketika ditanya mengenai kebenaran kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk menaiki pengangkutan itu, beliau berkata pihaknya tiada halangan.

“Selagi bayar tiket, kita benarkan mereka masuk. Cuma ibu bapa diingatkan untuk menjaga keselamatan anak. Kawalan kendiri itu amat penting,” katanya.

Untuk makluman, beliau berkata pihaknya membuat pembersihan sanitasi harian secara aktif dan pegawainya juga membuat pemantauan pematuhan SOP pengguna, bagi memastikan amalan jarakan sosial dipatuhi

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )