Norza sokong angkat berat dipertandingkan di SUKMA Johor

KUALA LUMPUR,. Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyokong penuh sukan angkat berat dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, tahun depan.

Mohamad Norza berkata isu doping yang membabitkan segelintir atlet angkat berat sebelum ini tidak boleh dijadikan penyebab untuk sukan itu dipinggirkan.

“Sebagai Presiden MOM saya sentiasa menyokong penuh angkat berat dimasukkan ke dalam Sukma Johor kerana apa sahaja yang berlaku dalam beberapa tahun sebelum ini hanya melibatkan segelintir atlet. Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi negatif impak kepada pembangunan sukan tersebut.

“Saya yakin dan percaya ramai atlet terutama di peringkat akar umbi yang menantikan apa keputusan (dimasukkan) yang akan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tenpin Boling Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2019 di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Selasa lepas berkata sukan itu mempunyai peluang lebih baik untuk dipertandingkan di SUKMA selepas melihat usaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan atlet untuk memulihkan imej sukan itu yang sering dipalit isu doping.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan masih mempertimbangkan sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada temasya itu.

Angkat berat sebelum ini turut digugurkan daripada senarai sukan teras sebagai hukuman kerana berlakunya kes doping biarpun berulang kali diberi amaran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )