CYBERJAYA,. Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan berkuat kuasa
CYBERJAYA,. Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan memastikan penyedia perkhidmatan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks.
Kedua-dua kod ini menetapkan jangkaan yang jelas terhadap penyedia perkhidmatan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan bahaya dalam talian, khususnya berkaitan keselamatan kanak-kanak dan pengguna rentan.
Pelaksanaannya mengguna pakai pendekatan berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan.
Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur bagi pengguna kanak-kanak.
Ia mewajibkan penyedia perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan (safety by design) bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
Kod ini turut menyediakan perlindungan bersesuaian mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu bagi mengurangkan pendedahan kepada interaksi eksploitatif dan kandungan bahaya.
Sementara itu, Kod Pengurangan Risiko (RMC) pula mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah-langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Ini termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan tindak balas yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.

