Palo Alto: Pelaksanaan 5G Dipercepat Tingkatkan Kelemahan Keselamatan Awan, Serangan Siber

Palo Alto: Pelaksanaan 5G Dipercepat Tingkatkan Kelemahan Keselamatan Awan, Serangan Siber

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan teknologi 5G yang dipercepatkan akan meningkatkan lagi kelemahan terutamanya dalam keselamatan awan, serangan berskala besar serta titik masukan terhadap serangan siber, menurut Palo Alto Networks.

Ketua Pegawai Keselamatan Lapangan Palo Alto bagi Asia Pasifik dan Jepun, Ian Lim berkata prasarana penyampaian 5G moden dibina pada seni bina awan yang secara tidak langsung mendedahkan teras 5G kepada kelemahan keselamatan awan.

Beliau berkata serangan berskala besar boleh datang dari mana-mana sahaja, termasuk daripada rangkaian pengendali itu sendiri.

Inovasi 5G yang tidak pernah berlaku sebelum ini adalah sasaran utama bagi serangan perisian tebusan yang meluas serta boleh menyebabkan gangguan yang menelan belanja besar, dan dengan adanya kelajuan 5G, pelaku jahat akan mempunyai beberapa titik masukan untuk melancarkan serangan siber, katanya.

“Apabila penggunaan 5G meningkat dan pergerakan daripada infrastruktur teras berasaskan perkakasan di syarikat telekomunikasi beralih kepada lebih banyak infrastruktur berasaskan awan, kita akan mempunyai pengalaman pembelajaran untuk beralih kepada awan (yang) akan mewujudkan jurang untuk dieksploitasikan oleh penyerang ini.

“5G akan berlaku dan kelemahan 5G ini akan dieksploitasi. Kita berharap apabila kita menggunakan 5G, keselamatan siber akan menjadi keutamaan,” katanya ketika membentangkan ramalan keselamatan Asia Pasifik 2023 oleh Palo Alto Networks di sini hari ini.

Beliau berkata Palo Alto turut meramalkan bahawa jaminan kepada keselamatan sambungan peranti perubatan akan menjadi kritikal disebabkan kelaziman sistem yang diwarisi dan data sensitif yang menarik perhatian penjenayah siber untuk menjadikan penjagaan kesihatan sebagai sasaran mudah.

Ian berkata penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) semakin meningkat dan penilaian oleh Palo Alto baru-baru ini mendapati 75 peratus daripada pam infusi perubatan yang diimbas memiliki jurang keselamatan yang boleh diambil kesempatan oleh penyerang.

“Memperluas mandat jabatan keselamatan siber dengan menyertakan keselamatan IoT perubatan adalah diperlukan,” katanya.

Selain itu, Ian berkata antara perkara yang turut diramalkan ialah serangan rantaian bekalan awan yang akan mengganggu perniagaan dan peningkatan perdebatan mengenai kedaulatan data.

Mengenai ramalan ke atas metaverse, beliau berkata dengan anggaran US$54 bilion dibelanjakan untuk barangan maya pada setiap tahun, metaverse boleh mewujudkan lubuk jenayah baharu kepada penjenayah siber.

“Sifat mengasyikkan metaverse akan membuka peluang baharu untuk perniagaan dan pengguna kerana ia membolehkan pembeli dan penjual berhubung dengan cara baharu.

“Syarikat akan mengambil manfaat daripada pengalaman realiti bercampur untuk mempelbagaikan tawaran dan memenuhi keperluan pengguna dalam metaverse,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )