
Pasaran getah dijangka alami dagangan dalam julat kecil minggu depan
KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, memandangkan permintaan diunjurkan mengukuh susulan aktiviti pengisian semula stok.
Bekas presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata akan wujud aktiviti pembelian dan pengisian semula stok sekali-sekala menjelang musim daun pokok getah luruh yang tiba lebih awal.
“Lazimnya, daun pokok getah luruh pada akhir Februari hingga penghujung April. Ketidaktentuan dalam pasaran ini disebabkan oleh musim daun gugur yang berkala, bukannya secara menyeluruh akibat perubahan iklim.
“Keadaan ini mungkin memberi kesan negatif kepada aspek penawaran, sekali gus menyebabkan harga tidak menentu,” katanya kepada Bernama.
Hasil susu getah dijangka terjejas kira-kira 40 hingga 50 peratus, katanya.
Low berkata ketidaktentuan harga minyak mentah dan dolar Amerika Syarikat (AS) juga mungkin memberi kesan kepada harga getah dan permintaan.
Mengenai prestasi mingguan, pasaran getah Malaysia ditutup tinggi, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras, ketika dagangan lengang dalam pasaran niaga hadapan getah serantau disebabkan ketiadaan peniaga China berikutan cuti Tahun Baru Cina yang panjang.
Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat empat sen kepada 723.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal melonjak 11 sen kepada 600.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang Jumaat, harga penutup oleh LGM untuk GMM 20 berada pada 723.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 600.0 sen sekilogram.
— BERNAMA