Pelancaran Malaysia International Rally Championship 2024

Pelancaran Malaysia International Rally Championship 2024

Oleh — Dino dan Ram

SEMENYIH — Setelah genap 5 tahun dunia sukan rally di Malaysia sunyi dari deruman kereta lumba rally di ladang sawit, kini kita bakal menyaksikan semula kembalinya kehebatan sukan lumba rally pada tahun 2024.

Majlis Pelancaran Malaysia International Rally Championship 2024 (MIRC) diadakan semalam di Eco Ventures Resort, Semenyih. Mengikut Pengarah Acara Dato Seri Mohammad Khafey Ikhwan bin Abdul Latif penganjuran MIRC kali ini adalah berstatus berbeza dengan penganjur lain pada sebelum ini.

“Acara utama adalah perlumbaan rally yang akan disertai oleh pelumba rally dan kereta rally terbaru dari China, Thailand dan Indonesia. Malah, pelumba-pelumba tempatan pasti akan menantikan kembalinya sukan rally di Malaysia.” kata beliau.

Perlumbaan MIRC adalah berskala karnival besar bagi menarik minat penonton dan peminat rally yang kali ini dianjurkan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC), diuruskan oleh syarikat pengurus acara gergasi, Semenyih Eco Ventures Resort and Recreation dengan rakan strategik bersama pejabat Parlimen Paya Besar, Majlis Bandaraya Kuantan dan Kerajaan Negeri Pahang serta Pahang Corporation.

Acara ini turut diikhtiraf oleh Motorsports Association of Malaysia (MAM) serta Kementerian Belia dan Sukan. “Bagi menambahkan kemeriahan sepanjang minggu berlangsungnya perlumbaan rally, kami akan menganjurkan karnival dan makanan di dua tempat utama iaitu di Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan Pahang.

“Konsert dari artis terkini dan cabutan bertuah akan turut akan berlangsung di Kuantan, manakala Ceramah Agama Perdana dari Penceramah dan Tokoh Agama terkemuka turut diadakan di Tapak Karnival Felda Panching,” tambah beliau.

Presiden MMAC, Haji Sutan Mustaffa Salihin turut melahirkan rasa gembira kerana penantian pelumba dan peminat sukan lumba rally ini akhirnya kembali menjadi kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada pihak Semenyih Eco Ventures terutama pengarah acara kerana merealisasikan impian kami peminat sukan rally di Malaysia yang lama dinantikan. “Malah tag line acara kami ialah The Best Rally Tradition is Back!” kata Haji Sutan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Dato Indera Mohd Shahar bin Abdullah turut mengalu-alukan kedatangan acara sukan lumba rally dan karnival ini dimana Felda Panching unik dengan keindahan serta boleh dijadikan litar perlumbaan rally yang julung kali diadakan.

Perlumbaan rally berstatus antarabangsa ini bakal menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan jumlah hampir RM 30,000 kepada semua pemenang kelas 4WD dan 2WD termasuk keseluruhan hadiah motorsikal bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Pihak penganjur berbesar hati untuk membuka peluang dan kerjasama dengan pihak swasta dan korporat untuk menjadi rakan penaja serta rakan strategik bagi meneruskan kesinambungan sukan rally di Malaysia.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan penajaan, perlumbaan rally dan acara karnival, sila hubungi:-
1. Dato Seri Mohamad Khafey Ikhwan Abdul Latif ( 011-10885311)
2. Tuan Haji Sutan Mustafa Salihin (016-228 5784)

-Gerbangpost

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )